TAIPEI: Lai Ching-te dari Parti Progresif Demokratik (DPP) telah memenangi pilihan raya presiden Taiwan.

Lai, yang merupakan penyandang naib presiden, berdepan saingan tiga penjuru dengan Hou Yu-ih dari Kuomintang (KMT) dan Ko Wen-je dari Parti Rakyat Taiwan.

Hou mengaku kalah dan mengucapkan tahniah kepada Lai atas kemenangannya. Beliau juga memohon maaf kepada penyokong KMT kerana tidak dapat menjatuhkan DPP.

Pengundi juga memilih ahli parlimen untuk badan perundangan Taiwan yang mempunyai 113 kerusi dalam pilihan raya yang diawasi dengan rapi oleh China dan Amerika Syarikat.

Keputusan itu pastinya diteliti Beijing mahupun Washington, yang merupakan rakan tentera utama pulau tersebut, ketika dua kuasa besar itu bergelut untuk memperluaskan pengaruh secara strategik di rantau penting terbabit.

Menjelang pilihan raya, China berulang kali mengecam Lai sebagai pemisah yang berbahaya dan menolak untuk mengadakan perbincangan.

Lai berkata beliau komited untuk memelihara keamanan di seluruh Taiwan, dan terus meningkatkan pertahanan pulau itu.