PERANG di Ukraine menunjukkan bagaimana infrastruktur komunikasi yang digunakan sekarang dengan mudah boleh dilumpuhkan.

Apabila ini berlaku, rangkaian internet menggunakan satelit menjadi satu-satunya penyelesaian terbaik.

New York Times melaporkan Taiwan akan membina rangkaian internet satelit mereka sendiri bagi menghadapi konflik dengan China sekiranya ia berlaku.

Perkhidmatan seperti Starlink wujud, tetapi Taiwan risau ia boleh tergendala bila-bila masa mengikut kehendak SpaceX.

Ini telahpun berlaku di Ukraine yang menyebabkan operasi dron tergendala.

Satelit untuk rangkaian internet dari angkasa lepas disasarkan akan dilancarkan seawal 2026 menggunakan kepakaran tempatan sepenuhnya.

Sebanyak 40 syarikat tempatan telah dikenal pasti akan menjadi rantaian bekalan program satelit tempatan.

Cabaran lain bagi Taiwan ialah untuk melancarkan satelit mereka sendiri memandangkan mereka tidak mempunyai kepakaran dalam bidang ini.

Sebelum ini satelit untuk kegunaan tempatan dilancarkan oleh syarikat swasta seperti Arianne.

Untuk merealisasikan impian ini, President Tsai Ing-wen telah menjanjikan $1.3 bilion untuk program angkasa lepas negara.

Membina rangkaian internet satelit sendiri adalah satu usaha yang besar. Selain SpaceX, Amazon turut menawarkan perkhidmatan yang sama menerusi Project Kuiper.

Di Malaysia, syarikat tempatan Angkasa-X turut ingin menawarkan perkhidmatan yang sama khusus untuk rantai Asia Tenggara.. -Amanz