Skip to main content

Dunia

To Lam dipilih Presiden Vietnam penggal 2026-2031

Vietnam's Communist Party General Secretary To Lam takes his oath as Vietnam's President during the legislature's session at the National Assembly in Hanoi, Vietnam, April 7, 2026. National Assembly/Handout via REUTERS ATTENTION EDITORS - THIS IMAGE HAS BEEN SUPPLIED BY A THIRD PARTY. NO RESALES. NO ARCHIVES. TPX IMAGES OF THE DAY
To Lam mengangkat sumpah jawatan dengan berikrar setia sepenuhnya kepada tanah air, rakyat dan Perlembagaan Republik Sosialis Vietnam, serta komited melaksanakan semua tugas yang diamanahkan oleh Parti, negara dan rakyat. -Gambar Reuters

HANOI: Perhimpunan Kebangsaan (NA) ke-16 memilih Setiausaha Agung Jawatankuasa Pusat Parti Komunis Vietnam (CPV) To Lam, yang juga timbalan badan perundangan ke-16, sebagai Presiden Vietnam bagi penggal 2026-2031 pada sesi pertamanya pada 7 April, lapor Agensi Berita Vietnam (VNA).

Ketika membentangkan draf resolusi mengenai pemilihan Presiden Negara, Setiausaha Agung NA merangkap Pengerusi Pejabat NA Le Quang Manh menyatakan bahawa berdasarkan Perlembagaan, peruntukan undang-undang berkaitan serta rekod rasmi pengiraan undi, badan perundangan itu memutuskan untuk memilih Setiausaha Agung Parti To Lam sebagai Presiden Negara.

Advertisement

Resolusi itu diluluskan menerusi sistem pengundian elektronik dengan sokongan penuh semua anggota yang hadir pada sesi berkenaan. Keputusan menunjukkan 495 daripada 495 undi menyokong, mencerminkan persetujuan sebulat suara oleh NA.

Susulan pengundian itu, upacara mengangkat sumpah jawatan Presiden Negara diadakan secara rasmi selaras dengan peruntukan Perlembagaan.

Presiden Negara yang baharu dipilih itu mengangkat sumpah jawatan dengan berikrar setia sepenuhnya kepada tanah air, rakyat dan Perlembagaan Republik Sosialis Vietnam, serta komited melaksanakan semua tugas yang diamanahkan oleh Parti, negara dan rakyat.

Dilahirkan pada 10 Julai 1957 di komun Nghia Tru, wilayah Hung Yen, To Lam ialah seorang Profesor Sains Keselamatan dan memiliki ijazah kedoktoran dalam bidang undang-undang.

Sepanjang kerjayanya, beliau merupakan ahli Jawatankuasa Pusat Parti bagi penggal ke-11, ke-12, ke-13 dan ke-14, serta ahli Biro Politik Jawatankuasa Pusat Parti bagi penggal ke-12, ke-13 dan ke-14.

Beliau pernah memegang beberapa jawatan kepimpinan penting termasuk Presiden Negara merangkap Pengerusi Majlis Pertahanan dan Keselamatan Negara pada 2024, Setiausaha Suruhanjaya Tentera Pusat sejak Ogos 2024, serta Ketua Jawatankuasa Pemandu Pusat bagi Pencegahan dan Pengawalan Rasuah, Pembaziran dan Fenomena Negatif.

Beliau juga pernah berkhidmat sebagai timbalan dalam Perhimpunan Kebangsaan bagi penggal ke-14, ke-15 dan ke-16.

-- BERNAMA-VNA

 

Must Watch Video