Skip to main content

Malaysia

Polis sahkan identiti empat mangsa maut, enam cedera nahas tiga kenderaan di lebuh raya PLUS

Dalam kemalangan itu, sebuah Ford Ranger telah melanggar bahagian belakang lori yang diparkir di tepi jalan sebelum dilanggar oleh Toyota Vios. - Gambar fail/JBPM
Dalam kemalangan itu, sebuah Ford Ranger telah melanggar bahagian belakang lori yang diparkir di tepi jalan sebelum dilanggar oleh Toyota Vios. - Gambar fail/JBPM

Advertisement

BATU PAHAT: Polis mengesahkan identiti empat individu, termasuk dua kanak-kanak yang maut dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 107, Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah selatan berhampiran Yong Peng semalam.

​Ketua Polis Daerah Batu Pahat ACP Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani berkata dalam kejadian pada 5.50 petang itu, kenderaan pacuan empat roda Ford Ranger, Toyota Vios dan sebuah lori penarik Scania terlibat dalam pelanggaran.

​Beliau berkata empat mangsa yang meninggal dunia adalah penumpang Ford Ranger, iaitu Ab Shukor Athan, 68, dan isterinya Mariam Ibrahim, 65, dari Taman Sri Lalang Baru, Kluang serta dua cucu mereka, Nur Umie Zahiyah Jumie, 5, dan Muhammad Zaharil Hakimie Jumie, 1, dari Taman Mutiara Rini, Skudai.

​“Ab Shukor, Mariam dan Nur Umie Zahiyah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah pada kepala oleh pegawai perubatan Klinik Kesihatan Yong Peng.

​“Muhammad Zaharil Hakimie pula meninggal dunia ketika sedang menerima rawatan di Klinik Kesihatan Parit Yaani,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Shahrulanuar berkata kemalangan turut menyebabkan empat lagi penumpang Ford Ranger mengalami kecederaan parah pada kepala, termasuk pemandu Jumie Julong, 35; isterinya Nor Hakimah Zakiah Ab Shukor, 32 serta anak mereka Muhammad Zafrul Hakimie, 3, yang kini dirawat di Zon Kuning Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI), Batu Pahat.

​Seorang lagi anak pasangan itu Muhammad Zariff Hakimie, 2, yang mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala diletakkan di bawah rawatan Zon Merah HSNI.

​Menurut beliau, dua individu yang menaiki Toyota Vios, iaitu pemandu Chin Nyet Boon, 46, bersama ibunya Yong Ah Moi, 81, dari Taman Meranti, Bahau, Negeri Sembilan turut dirawat di Zon Kuning HSNI akibat kecederaan kepala manakala pemandu lori Mohd Nadzri Abd Wahab, 31, tidak mengalami sebarang kecederaan.

​Shahrulanuar ketika mengulas kronologi kejadian itu berkata siasatan awal mendapati pacuan empat roda dari arah utara menghala ke selatan itu dipercayai hilang kawalan ketika berada di lorong kiri laluan lurus, sebelum melanggar bahagian sisi kanan belakang lori yang sedang berhenti di lorong kecemasan akibat kerosakan enjin.

​“Impak perlanggaran itu menyebabkan Ford Ranger berkenaan berpusing sebelum dilanggar oleh Toyota Vios yang datang dari arah belakang.

​“Kesemua mayat mangsa dibawa ke Unit Perubatan Forensik HSNI untuk proses bedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement