SINGAPURA: Lapangan Terbang Changi memulakan operasi di sayap utara Terminal 2 (T2) pada Khamis, selepas tiga setengah tahun pelaksanaan kerja-kerja kejuruteraan untuk memanjangkan hayat sistem kritikal dan kerja-kerja pembesaran untuk memenuhi kapasiti keseluruhan Changi kepada 90 juta penumpang setahun (mppa).

"Kami komited untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada pelanggan dan mahu membawa pengalaman penumpang ke tahap baharu dengan T2 yang dipertingkat," kata Pengarah Program Kumpulan Lapangan Terbang Changi bagi Projek Pembesaran Terminal 2, Tan Lye Teck, dalam satu kenyataan di sini.

Menurut Lapangan Terbang Changi, kapasiti pengendalian T2 telah meningkat sebanyak lima mppa kepada 28 mppa.

"Peningkatan kapasiti ini tepat pada masanya kerana perjalanan udara di Lapangan Terbang Changi terus pulih," kata lapangan terbang itu.

Trafik penumpang pada Ogos 2023 di Lapangan Terbang Changi sebanyak 87 peratus daripada tahap pra-Covid.

Sayap selatan T2 dibuka semula pada Mei 2022 (ketibaan) dan Oktober 2022 (berlepas) untuk menyediakan kapasiti bagi memenuhi peningkatan jumlah penumpang berikutan pelonggaran sekatan sempadan antarabangsa pada awal tahun itu.

"Pembukaan semula sepenuhnya T2 akan diadakan pada awal November 2023," Lapangan Terbang Changi

Projek pembesaran T2 itu telah menambah 15,500 meter persegi ke bangunan terminal untuk menyokong infrastruktur tambahan, sistem baharu dan lebih banyak tawaran runcit.

Sejak Mei 2022, terminal itu telah mengendalikan lebih 8.7 juta pergerakan penumpang bagi 12 syarikat penerbangan - Air India, Air India Express, Air Macau, Ethiopian Airlines, Firefly, Lufthansa, Malaysia Airlines, Royal Brunei Airline, Sichuan Airlines, Singapore Airlines, Swiss International Air Lines, United Airlines

Berkuat kuasa pada Khamis, Lufthansa, Singapore Airlines (penerbangan ke Asia Tenggara, Bangladesh dan Sri Lanka), dan Switzerland akan mula beroperasi dari sayap utara T2.

Air Japan, All Nippon Airways, Etihad, Indigo dan Singapore Airlines ke Maldives dan Nepal akan berpindah ke T2 bulan depan

"Ini akan menjadikan jumlah syarikat penerbangan yang beroperasi di T2 sebanyak 16," katanya.

-- BERNAMA