LONDON: Pihak Lapangan Terbang Heathrow memberi amaran kepada penumpang agar tidak menggunakan laluan darat ke dua terminalnya susulan banjir, lapor PA Media/dpa.
Laluan jalan raya ke Terminal Dua dan Tiga terhalang selepas kawasan terminal pusat lapangan terbang itu dinaiki air, sekali gus memaksa penutupan jalan terus dilaksanakan, katanya.
Orang ramai diminta memperuntukkan masa tambahan untuk perjalanan mereka serta menggunakan perkhidmatan Heathrow Express, Elizabeth Line dan Piccadilly Line, atau kemudahan parkir dan naik di Terminal Empat dan Lima.
Gangguan itu menjejaskan penumpang ketika cuti sekolah musim panas, yang menyaksikan ratusan ribu pengguna melalui lapangan terbang berkenaan pada waktu puncak.
Satu kenyataan di laman sesawang Lapangan Terbang Heathrow memaklumkan: "Banjir di kawasan terminal pusat menyebabkan penutupan jalan terus berlanjutan, sekali gus menyekat laluan ke Terminal 2 dan 3.
"Penumpang yang mahu menuju ke atau dari mana-mana terminal ini hari ini diingatkan supaya tidak menggunakan jalan raya.
Penumpang dinasihatkan menggunakan perkhidmatan kereta api Heathrow Express, Elizabeth Line dan Piccadilly Line di mana yang boleh.
Mana-mana penumpang yang terpaksa memandu perlu menggunakan kemudahan Parkir dan Naik, menuju ke Terminal 4 atau 5 dan mengambil perkhidmatan kereta api percuma dari situ atau bertukar di stesen kereta api tempatan.
"Sila peruntukkan masa tambahan untuk perjalanan anda. Pasukan kami sedang berusaha menyelesaikan situasi ini secepat mungkin; kami memohon maaf atas sebarang kesulitan yang timbul."
-- BERNAMA-PA MEDIA/dpa