DUNIA
Laporan awal dedah suis pemotong bahan api berubah sebelum nahas Air India

Ekor pesawat Air India Boeing 787 Dreamliner yang terhempas dilihat tersangkut pada sebuah bangunan selepas insiden di Ahmedabad, India. - Foto fail/REUTERS
NEW DELHI: Laporan awal penyiasatan nahas pesawat Air India Boeing 787 Dreamliner yang mengorbankan 260 nyawa mendedahkan bahawa tiga saat selepas berlepas, suis pemotong bahan api enjin telah bertukar secara serentak dari mod “run” kepada “cutoff”, sekali gus menghentikan aliran bahan api dan menyebabkan pesawat hilang daya tujahan sebelum menjunam ke tanah.
Rakaman suara kokpit menunjukkan seorang juruterbang bertanya kenapa bahan api dipotong, tetapi rakannya menafikan melakukan tindakan tersebut.
Laporan tidak menyatakan siapa antara kapten atau pegawai pertama yang membuat kenyataan itu, dan tidak mengenal pasti siapa yang menghantar panggilan kecemasan “Mayday”.
Menariknya, kedua-dua suis bahan api ditemui dalam mod “run” di lokasi nahas, dan terdapat tanda-tanda bahawa kedua-dua enjin cuba dihidupkan semula sebelum terhempas pada altitud rendah.Kedua-dua juruterbang mempunyai pengalaman terkumpul sebanyak 19,000 jam penerbangan, termasuk 9,000 jam menggunakan pesawat 787.
Namun, laporan tidak menjelaskan bagaimana suis tersebut boleh bertukar ke posisi “cutoff”, kerana pakar keselamatan penerbangan menegaskan bahawa suis itu tidak mudah dialihkan secara tidak sengaja.
“Adakah suis itu bergerak sendiri atau digerakkan oleh juruterbang? Jika oleh juruterbang, mengapa?” soal pakar keselamatan Amerika Syarikat (AS), Anthony Brickhouse.
John Cox, seorang lagi pakar, menegaskan: “Anda tak boleh terlanggar dan ia terus berpusing. Ia memerlukan tindakan sengaja.”
Biasanya, suis cutoff digunakan hanya ketika pesawat telah mendarat atau dalam kecemasan seperti kebakaran enjin.
Laporan tidak menunjukkan sebarang keadaan yang memerlukan tindakan tersebut.
Biro Penyiasatan Kemalangan Pesawat India (AAIB) menyatakan bahawa “tiada tindakan keselamatan yang disyorkan” terhadap Boeing atau pengeluar enjin GE buat masa ini.
Air India, Boeing dan GE masih belum memberikan maklum balas.
Air India kini berdepan tahap penelitian tinggi, bukan sahaja disebabkan nahas ini, tetapi juga beberapa pelanggaran peraturan baru-baru ini.
Agensi Keselamatan Penerbangan EU akan menyiasat Air India Express selepas dakwaan bahawa syarikat itu gagal menukar komponen enjin Airbus dan memalsukan rekod pematuhan.
Pengawal selia penerbangan India turut memberi amaran kepada Air India kerana menerbangkan tiga pesawat Airbus dengan pemeriksaan gelungsur kecemasan yang tertunggak, dan melanggar peraturan waktu tugas juruterbang.
Laporan akhir berhubung nahas dijangka dalam masa satu tahun, selepas analisis data dari kotak hitam pesawat yang mengandungi rakaman perbualan juruterbang dan data penerbangan kritikal.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami