INTERNATIONAL
Lawatan Jinping kukuh hubungan serantau, capai konsensus kerjasama

Lawatan ke Jinping Malaysia mencatatkan pencapaian penting apabila kedua-dua negara bersetuju membina komuniti strategik peringkat tinggi China-Malaysia dengan masa depan bersama. - Foto AP
LAWATAN Presiden China, Xi Jinping, ke Asia Tenggara telah memperkukuh hubungan dua hala dengan Vietnam, Malaysia dan Kemboja.
Ini menyaksikan tercapainya pelbagai konsensus dalam menangani cabaran bersama dan memperluas kerjasama pelbagai bidang, kata Menteri Luar China, Wang Yi.
Jinping, yang juga Setiausaha Agung Jawatankuasa Pusat Parti Komunis China, mengadakan lawatan negara ke Vietnam dari 14 hingga 15 April atas jemputan Setiausaha Agung Parti Komunis Vietnam, To Lam dan Presiden Vietnam, Luong Cuong.
Presiden Jinping kemudian meneruskan lawatan ke Malaysia dan Kemboja dari 15 hingga 18 April, atas jemputan rasmi Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim serta Raja Kemboja, Norodom Sihamoni.
Mengulas lawatan ke Vietnam, Wang berkata kedua-dua negara bersetuju untuk membawa hubungan kerjasama strategik menyeluruh ke tahap yang lebih tinggi dan mendalam.
Sementara itu, lawatan ke Malaysia mencatatkan pencapaian penting apabila kedua-dua negara bersetuju membina komuniti strategik peringkat tinggi China-Malaysia dengan masa depan bersama - satu langkah penting dalam mempercepatkan kerjasama serantau.
Bagi lawatan ke Kemboja pula, Wang menekankan peningkatan hubungan dua hala kepada komuniti China-Kemboja sepanjang masa dengan masa depan bersama dalam era baharu, yang merupakan hubungan dua hala pertama seumpamanya antara China dan negara Asia Tenggara.
Wang menyatakan lawatan Jinping ini berlangsung ketika dunia berdepan ketidaktentuan geopolitik.
Beliau turut mengkritik tindakan Amerika Syarikat yang mengenakan tarif unilateral secara meluas, yang didakwa melanggar peraturan perdagangan antarabangsa dan memberi tekanan kepada negara-negara Asia Tenggara.
Katanya, negara-negara ini ingin tahu pendirian China dan apa yang akan dilakukan.
Tambah beliau, ini memberi peluang terbaik untuk memperkukuh komunikasi strategik dan konsensus pemimpin adalah jelas dimana mesti bersatu menolak tindakan regresif.
Presiden Jinping turut menegaskan manfaat globalisasi ekonomi kepada semua negara dan menyeru agar negara-negara jiran serta anggota Global South memperkukuh kerjasama, menentang konfrontasi berasaskan blok dan menolak unilateralisme.
Wang menambah, China kini mengamalkan kerjasama menyeluruh dengan jiran-jirannya termasuk dalam bidang keselamatan, pertahanan, sains dan inovasi teknologi seperti 5G dan kecerdasan buatan (AI), selaras dengan matlamat menuju pemodenan bersama.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami