SINGAPURA: Speaker Dewan Amerika Syarikat (AS) Nancy Pelosi bertemu dengan Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong, Presiden Halimah Yacob dan anggota Kabinet lain pada Isnin.

Ia merupakan sebahagian rangka jelajah Asianya ketika persoalan berlegar mengenai kemungkinan Pelosi akan singgah ke Taiwan yang telah mencetuskan ketegangan dengan Beijing.

Lee mengalu-alukan komitmen AS terhadap penglibatan kukuh dengan rantau itu, dan kedua-dua pihak membincangkan cara untuk mengukuhkan lagi penglibatan ekonomi AS melalui inisiatif seperti rangka kerja ekonomi Indo-Pasifik.

Lee dan Pelosi juga membincangkan perang di Ukraine, ketegangan membabitkan Taiwan dan tanah besar China, serta perubahan iklim.

Lee juga menegaskan kepentingan hubungan AS-China yang stabil untuk keamanan dan keselamatan serantau.

Dalam satu kenyataan pada hujung minggu, Pelosi berkata beliau akan melawat Singapura, Malaysia, Korea Selatan dan Jepun untuk membincangkan perdagangan, pandemik COVID-19, perubahan iklim, keselamatan, dan tadbir urus demokratik.

Namun beliau tidak mengesahkan laporan berita tentang lawatan ke Taiwan.

Lawatan sedemikian akan mencetuskan kemarahan Beijing yang menganggap Taiwan sebagai wilayahnya sendiri dan telah berulang kali memberi amaran tentang "akibat serius" jika lawatan itu diteruskan.

Jelajah Asia Polisi | Pelosi bertemu PM Singapura