WASHINGTON: Lebih 1 bilion tong bekalan minyak global dilaporkan hilang susulan gangguan berpanjangan di Asia Barat, sekali gus meletakkan pasaran minyak dunia dalam keadaan tidak menentu.
Situasi itu berlaku walaupun Selat Hormuz kini dibuka semula selepas Iran dan Amerika Syarikat memeterai memorandum persefahaman minggu ini.
Namun, perkembangan tersebut dilihat mungkin sudah terlambat untuk memulihkan kestabilan bekalan global dalam tempoh terdekat.
Selama hampir empat bulan, bekalan minyak dari Asia Barat terjejas, menyebabkan dunia kehilangan kira-kira 1.15 bilion tong minyak.
Kekurangan ini menekan pasaran dan menghampirkan sistem bekalan global ke titik kritikal.
Rizab petroleum strategik di peringkat antarabangsa kini berada pada paras terendah sejak 1990, manakala simpanan kecemasan Amerika Syarikat mencatatkan paras terendah dalam tempoh 43 tahun. Inventori komersial pula dilaporkan berada pada tahap tekanan operasi.
Presiden AS, Donald Trump memberi amaran bahawa rizab sedia ada mungkin hanya mampu bertahan kira-kira empat minggu sekiranya krisis berlarutan.
Walaupun pembukaan semula Selat Hormuz memberi harapan, proses pemulihan tidak dijangka berlaku segera.
Usaha membersihkan laluan laut, membawa masuk kapal tangki kosong, memulakan semula pengeluaran serta menghantar minyak ke pasaran memerlukan masa berbulan-bulan sebelum bekalan kembali normal.
Dalam tempoh itu, pasaran masih bergantung kepada stok simpanan sedia ada yang semakin menyusut.
Menuju titik genting
Harga minyak dunia sebelum ini menunjukkan penurunan ketara berikutan harapan terhadap perjanjian Iran-AS.
Harga minyak mentah Brent merosot daripada paras tertinggi ketika konflik kepada di bawah AS$80 setong ketika ini.
Namun, lebihan bekalan yang wujud sebelum konflik kini semakin menyusut dan bertukar menjadi defisit membimbangkan.
Stok minyak global dilaporkan susut kira-kira 190 juta tong dalam tempoh beberapa bulan kebelakangan ini.
Kemudahan penyimpanan utama seperti di Cushing, Oklahoma, yang menjadi hab penting pengedaran minyak di Amerika Syarikat, kini mencapai tahap tekanan operasi, sekali gus menjejaskan keupayaan penghantaran kepada pengguna.
Keadaan sama turut berlaku di beberapa pusat simpanan lain di seluruh dunia, yang menghampiri titik kritikal operasi.
Harga berpotensi melonjak semula
Pakar industri berpandangan harga minyak berkemungkinan meningkat semula memandangkan risiko kekurangan bekalan masih tinggi, terutama jika stok sedia ada tidak sempat diisi semula dengan pantas.
Proses pemulihan rantaian bekalan yang perlahan serta cabaran logistik besar dijangka terus menekan pasaran dalam jangka pendek.
Walaupun terdapat optimisme terhadap perjanjian terbaru, realiti pasaran menunjukkan bekalan fizikal masih menjadi faktor utama yang menentukan hala tuju harga minyak global.
Malah, meskipun pengeluaran meningkat sehingga jutaan tong sehari, ia dijangka mengambil masa sekitar setahun untuk menggantikan keseluruhan 1.15 bilion tong bekalan yang hilang.
Namun terdapat pandangan berbeza
Sebahagian penganalisis pula berpendapat pasaran mungkin terlalu membesar-besarkan risiko berkenaan.
Ini kerana dunia sebelum ini memiliki lebihan bekalan yang besar, yang masih memberi sedikit penampan kepada pasaran ketika ini.
Sebagai contoh, walaupun stok diesel dan petrol di Amerika Syarikat berada pada paras rendah berbanding tahun-tahun sebelumnya, penurunannya masih dalam julat terkawal.
Ada juga pandangan bahawa keadaan bekalan semakin pulih apabila pengeluar minyak, khususnya negara OPEC yang memerlukan aliran tunai, mula meningkatkan pengeluaran.
Dalam tempoh terdekat, pasaran dijangka terus berdepan ketidaktentuan antara faktor kekurangan bekalan dan kemasukan semula minyak ke pasaran global, sekali gus menjadikan harga minyak sukar diramal. - Agensi