Sebuah pesawat penerbangan Emirates dari Dubai telah dikuarantin di Lapangan Terbang Antarabangsa John F. Kennedy, New York, Amerika Syarikat selepas puluhan penumpangnya jatuh sakit.

Penerbangan Emirates 203, sebuah pesawat jenis Airbus A388 yang membawa kira-kira 500 orang penumpang, mendarat di lapangan terbang tersebut pada jam 9.10 pagi waktu tempatan.

Menurut Pejabat Datuk Bandar New York, pesawat itu sedang menuju ke New York apabila sekurang-kurangnya 100 penumpangnya mengadu tidak sihat.

Jurucakap Emirates pula memaklumkan, seramai 10 penumpang telah jatuh sakit, namun pihak media tempatan meletakkan jumlah itu kepada 100.

"Setibanya di JFK, sebagai langkah berjaga-jaga, mereka segera diperiksa oleh pihak berkuasa kesihatan tempatan," kata jurucakap Emirates.

Mereka kemudiannya diperiksa oleh pihak berkuasa kesihatan dari Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC).

Penumpang yang sakit telah dibawa ke hospital sementara mereka yang sihat dibenarkan untuk meneruskan penerbangan.