CANBERRA: Pihak berkuasa Australia Selatan (SA) pada Khamis memaklumkan lebih 1,000 burung mati dalam tiga kejadian kematian melibatkan jumlah yang banyak disyaki berpunca daripada selesema burung H5N1 di beberapa pulau di luar pantai negeri itu, lapor Xinhua.
Premier Australia Selatan Peter Malinauskas memberitahu parlimen negeri bahawa sekumpulan burung Crested Tern ditemukan mati oleh pasukan pemantauan di beberapa pulau terpencil pada Rabu.
Beliau berkata kematian berkenaan menunjukkan peningkatan ketara penularan selesema burung di negeri itu.
“Kematian lebih 1,000 ekor burung amat membimbangkan dan kerajaan negeri memandang serius kejadian itu,” kata Malinauskas.
SA menjadi pusat penularan H5N1 di Australia dengan 177 kes selesema burung H5 yang disahkan setakat Khamis, menurut Australian Broadcasting Corporation.
Selain kejadian kematian burung melibatkan jumlah yang banyak, Malinauskas berkata pada Khamis bahawa pihak berkuasa amat bimbang berhubung kes disyaki melibatkan seekor penguin kecil yang ditemukan di Pulau Kangaroo.
Tinjauan yang dijalankan pada Oktober 2025 menganggarkan terdapat 704 penguin kecil dewasa yang sedang membiak di pulau itu, meningkat daripada 530 pada 2024.
Malinauskas berkata pihak berkuasa akan mengambil setiap langkah yang praktikal dan wajar untuk melindungi hidupan liar negeri itu serta sedang mempertimbang vaksinasi bersasar terhadap populasi burung asli yang terdedah dan dipelihara atau diuruskan.
-- BERNAMA-XINHUA