Lebih 200 terbunuh dalam serangan bermotif etnik di Darfur, Sudan

Mangsa pelarian menaiki kenderaan yang ditarik haiwan selepas serangan Pasukan Sokongan Pantas ((RSF) ke atas kem pelarian Zamzam di bandar Tawila, Darfur Utara, Sudan, pada 15 April lalu. - Gambar fail Reuters
ISTANBUL: Lebih 200 orang, termasuk wanita dan kanak-kanak, terbunuh dalam serangan bermotif etnik yang dilancarkan oleh pasukan separa tentera Pasukan Sokongan Pantas (RSF) di beberapa bahagian di Darfur, menurut Rangkaian Doktor Sudan, lapor Anadolu Ajansi (AA).
Memetik keterangan mangsa terselamat yang tiba di kem pelarian di Tina, berhampiran sempadan Sudan-Chad, rangkaian itu memaklumkan, orang awam disasarkan dan dibunuh berdasarkan etnik di kawasan Ambro dan Abu Qamra di Darfur Utara serta di Sirba, Darfur Barat, selepas pasukan RSF menyerang kawasan berkenaan.
"Mangsa termasuk kanak-kanak, wanita dan lelaki yang sengaja disasarkan dan dibunuh berdasarkan identiti etnik mereka," menurut kenyataan rangkaian itu pada Sabtu, sambil menyifatkan serangan berkenaan sebagai pelanggaran berat undang-undang kemanusiaan dan hak asasi antarabangsa.
Tiada kenyataan segera dikeluarkan oleh pihak RSF. Pembunuhan yang dilaporkan itu berlaku ketika pertempuran semakin memuncak di Darfur Utara.
Pasukan Gabungan Pergerakan Bersenjata, yang bersekutu dengan tentera Sudan, menyatakan pada Khamis bahawa anggotanya telah berjaya menangkis serangan RSF di beberapa kawasan di Darfur Utara.
Dalam satu kenyataan, pasukan gabungan itu menuduh RSF meningkatkan serangan jenayah terhadap orang awam, khususnya di sekitar Abu Qamra, bagi menguasai kawasan berkenaan melalui pembunuhan, pemindahan paksa dan tindakan menakut-nakutkan penduduk serta pelarian.
Sumber tempatan memaklumkan bahawa pasukan RSF menyerang Abu Qamra dan Ambro pada Rabu, manakala RSF mendakwa telah menguasai kedua-dua kawasan itu.
Pasukan gabungan itu berkata sejak serangan bermula, pejuang RSF telah membakar seluruh kampung, merampas ternakan dan harta benda penduduk, serta melakukan apa yang disifatkan sebagai penderaan kejam terhadap penduduk awam.
Daripada 18 negeri di Sudan, RSF menguasai kesemua lima negeri di wilayah Darfur di barat negara itu, kecuali beberapa kawasan di utara Darfur Utara yang masih berada di bawah kawalan tentera.
Tentera pula menguasai sebahagian besar kawasan di 13 negeri lain di selatan, utara, timur dan tengah negara itu, termasuk ibu negara, Khartoum.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


