Skip to main content

Malaysia

PTTI umum insentif RM500 kepada pelajar 'straight-A' SPM 2025

PTTI INSENTIF_TB
Pelajar yang memperoleh keputusan semua A bergambar bersama ahli keluarga dan guru selepas menerima pengiktirafan dalam majlis anjuran PTTI Group Sdn Bhd. - Gambar PTTI

KUALA LUMPUR: PTTI Group Sdn Bhd (PTTI) mengumumkan pemberian insentif khas RM500 kepada pelajar yang mencapai keputusan semua A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 sebagai tanda penghargaan terhadap kecemerlangan akademik mereka.

Inisiatif yang memasuki tahun kedua pelaksanaannya itu bertujuan mengiktiraf dedikasi, disiplin serta usaha berterusan pelajar, selain menjadi pemangkin kepada lebih ramai untuk terus mengejar kecemerlangan dalam pendidikan.

Advertisement

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif PTTI, Muhd Habibunajjar Sazali berkata insentif tersebut bukan sekadar ganjaran, sebaliknya satu bentuk sokongan awal bagi membantu pelajar melangkah ke fasa seterusnya dalam pendidikan.

“Bantuan kewangan yang kita bagi ini bukan sekadar untuk meraikan kejayaan mereka, tetapi juga untuk membantu pelajar menyambung pengajian seperti membeli komputer riba dan keperluan lain apabila melangkah ke kolej atau universiti,” katanya.

Tambahnya, bilangan pelajar yang bakal menerima insentif tersebut dijangka meningkat sehingga dua kali ganda berbanding tahun lalu, mencerminkan peningkatan prestasi pelajar di bawah bimbingan PTTI.

Kejayaan itu, katanya, didorong oleh penyertaan pelajar dalam program pembelajaran PTTI termasuk Program Selekoh Akhir SPM dan Online Tuition Class (OTC) yang menekankan pendekatan pembelajaran tersusun serta berfokus kepada peperiksaan.

Program Selekoh Akhir SPM, misalnya, memberi tumpuan kepada ulang kaji intensif Tingkatan 4 dan Tingkatan 5 selama tiga bulan dengan pendekatan sistematik dan menyeluruh bagi memperkukuh penguasaan pelajar terhadap topik penting.

Image
PTTI INSENTIF_INSERT
Pendekatan pembelajaran PTTI yang menekankan pemahaman langkah demi langkah, latihan berstruktur serta teknik menjawab soalan turut membantu pelajar menjadi lebih yakin dan bersedia menghadapi peperiksaan. - Gambar PTTI

Selain itu, konsistensi pelajar dalam mengikuti sesi pembelajaran serta kesungguhan menyiapkan Latihan juga dikenal pasti sebagai antara faktor utama yang menyumbang kepada pencapaian cemerlang mereka.

Dalam pada itu, Pengarah Kerjasama Strategik PTTI, Muhammad Asyraf Khalid berkata pemberian insentif tersebut turut membawa makna lebih besar kepada pelajar sebagai pengiktirafan terhadap pencapaian awal dalam kehidupan mereka.

“Kita nak meraikan pelajar dan memberitahu mereka bahawa ini adalah kejayaan besar pertama dalam hidup mereka dan satu momen yang patut dibanggakan, kerana ia bukan tentang wang semata-mata tetapi rasa pencapaian hasil usaha mereka,” jelasnya.

Beliau berkata usaha tersebut juga merupakan cara PTTI menghargai pelajar yang telah mengharumkan nama organisasi serta membuktikan bahawa kejayaan boleh dicapai dengan usaha dan disiplin yang betul.

Majlis penyampaian insentif tersebut akan diraikan dalam Majlis Anugerah Inspirasi (MAI) PTTI, iaitu acara tahunan yang menjadi platform menghargai kejayaan pelajar secara lebih bermakna.

Seiring itu, ikon PTTI dan penyanyi, Nabila Razali menggalakkan pelajar yang bakal menduduki SPM untuk memanfaatkan platform pembelajaran yang disediakan bagi meningkatkan prestasi akademik.

“Pelajar yang mungkin menghadapi kesukaran dalam subjek tertentu boleh menyertai PTTI kerana kaedah pembelajaran yang ditawarkan dapat membantu mereka mencapai keputusan yang lebih baik,” ujarnya.

Dalam usaha memperluas impak, PTTI menyasarkan untuk membantu sehingga 25,000 pelajar SPM tahun ini sebagai sebahagian daripada komitmen berterusan dalam meningkatkan prestasi akademik pelajar dan menyumbang kepada pembangunan pendidikan negara.

Image
PTTI INSENTIF_INSERT 2
PTTI percaya setiap kejayaan yang diraikan hari ini mampu menjadi pemangkin kepada pencapaian lebih besar pada masa hadapan, sekali gus menyemarakkan budaya kecemerlangan dalam kalangan generasi muda. - Gambar PTTI

Orang ramai yang berminat boleh mendapatkan maklumat lanjut serta mendaftar melalui laman sesawang rasmi di www.ptti.my.

Must Watch Video