Skip to main content

Malaysia

7 Mei pendengaran permohonan Najib tangguh bayar US$1.3 bilion kepada SRC

KUALA LUMPUR, 14 Jan -- Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak tiba di Mahkamah Tinggi hari ini bagi menyambung perbicaraan berhubung kes saman SRC International Berhad dan Gandingan Mentari Sdn Bhd.  --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Mahkamah mendapati Najib telah menyalahgunakan jawatannya, sekali gus membolehkan SRC memperoleh pinjaman RM4 bilion daripada Kumpulan Wang Simpanan Persaraan (KWAP) di bawah jaminan kerajaan. - Gambar fail/ Bernama

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi hari ini menetapkan 7 Mei ini untuk memutuskan mengenai kos dan mendengar permohonan Datuk Seri Najib Razak bagi penangguhan sementara terhadap pembayaran sebanyak US$1.3 bilion kepada SRC International Sdn Bhd.

Peguam Datuk Lim Chee Wee yang mewakili SRC, mengesahkan tarikh berkenaan ditetapkan Penolong Pendaftar Mohd Syafiq Mustaza menerusi secara dalam talian. 

Advertisement

“Prosiding pada bulan depan akan dijalankan menerusi Zoom (secara dalam talian),” katanya.

Pada Selasa lepas, Mahkamah Tinggi memutuskan bekas perdana menteri itu bertanggungjawab terhadap kerugian US$1.3 bilion yang dialami SRC, selepas didapati melanggar tanggungjawab fidusiari, menyalahgunakan kedudukan serta menyeleweng dana syarikat untuk kepentingan peribadi.

Hakim Datuk Ahmad Fairuz Zainol Abidin dalam keputusan membenarkan saman syarikat itu berjumlah US$1.18 bilion terhadap Najib mengarahkan beliau membayar jumlah berkenaan, selain US$120 juta yang diterima daripada syarikat terbabit ke dalam akaun bank peribadinya, sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan US$1.3 bilion.

Mahkamah bagaimanapun tidak menetapkan kos dan membenarkan Najib menangguhkan sementara pembayaran US$1.3 bilion itu dengan syarat beliau mengemukakan permohonan dalam masa 14 hari dari tarikh keputusan.

Dalam penghakimannya, Ahmad Fairuz yang kini merupakan hakim Mahkamah Rayuan berkata mahkamah mendapati Najib telah menyalahgunakan jawatannya, sekali gus membolehkan SRC memperoleh pinjaman RM4 bilion daripada Kumpulan Wang Simpanan Persaraan (KWAP) di bawah jaminan kerajaan.

Penyalahgunaan kuasa membolehkan penyaluran terus RM3.6 bilion ke luar negara tanpa pengawasan sewajarnya, sekali gus mengakibatkan penyelewengan US$1.1 bilion melalui struktur pelaburan palsu.

SRC memulakan saman pada Mei 2021, mendakwa Najib telah melanggar tanggungjawab fidusiari, menyalahgunakan kuasa dan menyeleweng dana syarikat untuk kepentingan peribadi.

SRC menuntut ganti rugi, faedah, kos dan deklarasi mahkamah bahawa Najib bertanggungjawab terhadap kerugian syarikat akibat pelanggaran tugas dan amanahnya, dan menuntut Najib membayar balik kerugian USD1.18 bilion yang dialaminya.

Syarikat terbabit turut menuntut USD120 juta daripada Najib.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video