Ribut dan hujan lebat telah meragut nyawa sekurang-kurangnya 42 orang selama seminggu lalu di Arab Saudi dan Yaman, lapor kedua-dua kerajaan berjiran itu pada Khamis.

Sejumlah 24 orang maut di utara Yaman, manakala 18 nyawa turut terkorban di Arab Saudi akibat bencana banjir yang berpunca daripada hujan lebat.

Sumber dari agensi keselamatan pula berkata, 10 orang maut di wilayah Amran, di utara ibu negara Yaman, Sanaa.

Portal berita Al-Arabiya melaporkan, arus banjir telah memusnahkan beberapa buah rumah dan memutuskan laluan jalan raya di Amran dan Hajjah yang terletak di barat laut Sanaa.

Terdapat juga mangsa yang tertimbus di bawah runtuhan tanah.

Di selatan Hajjah dalam wilayah Al-Mahwit, sebuah empangan telah pecah dan menyebabkan ladang pertanian musnah dan jambatan runtuh.

Sementara itu di Arab Saudi, 18 orang terkorban dalam hujanlebat sepanjang minggu lalu, kata agensi pertahanan awam yang telah menyelamatkan hampir 1,000 orang.

Dalam satu kenyataan, keadaan cuaca itu meninggalkan kesan di seluruh negara, dari Riyadh ke Hail, Mekah, Madinah, Al-Baha, Asir, Najran dan Jazan.

Antara yang maut ialah dua orang di barat daya Jazan, yang bersempadan dengan Yaman. Pasangan itu tidak dapat diselamatkan apabila tiga kawasan di daerah pergunungan iatu dilanda air banjir.

Lagi 27 orang di Al-Baha turut cedera kerana terlibat kemalangan semasa hujan lebat.

Hujan lebat masih melanda Arab Saudi minggu ini, termasuk di Riyadh, yang sudah mengalami masalah perhubungan yang terputus selain mengumumkan penutupan sekolah.