DUNIA
Lebih 40 peratus mangsa jenayah siber Australia alami serangan berulang

Laporan Jenayah Siber di Australia 2024 mendapati bahawa 42.1 peratus daripada semua mangsa mengalami lebih daripada satu jenis jenayah siber dalam tahun yang sama.- Gambar hiasan/charlesdeluvio/Unsplash/360info
CANBERRA: Lebih 40 peratus rakyat Australia yang menjadi sasaran jenayah siber pada 2024 mengalami pelbagai jenis serangan, menurut satu laporan baharu kerajaan, lapor Xinhua.
Laporan Jenayah Siber di Australia 2024, yang diterbitkan pada Isnin oleh Institut Kriminologi Australia (AIC), mendapati bahawa 42.1 peratus daripada semua mangsa mengalami lebih daripada satu jenis jenayah siber dalam tahun yang sama.
Laporan itu meneliti empat kategori utama jenayah siber iaitu penyalahgunaan dan gangguan dalam talian, perisian hasad, jenayah dan penyalahgunaan identiti, serta penipuan dan skim penipuan dan mendapati 47.4 peratus rakyat Australia melaporkan menjadi mangsa sekurang-kurangnya satu jenayah siber pada 2024.
Penyalahgunaan dan gangguan dalam talian adalah jenis jenayah siber yang paling biasa, menjejaskan 26.8 peratus daripada 10,335 rakyat Australia yang menyertai tinjauan AIC, diikuti oleh jenayah dan penyalahgunaan identiti.Dalam kalangan semua mangsa, 6.6 peratus menjadi mangsa kepada keempat-empat jenis jenayah siber itu.
Komander Siber Polis Persekutuan Australia (AFP) Graeme Marshall berkata laporan ini menunjukkan yang pencegahan jenayah siber perlu menjadi amalan harian rakyat Australia dan bukan sekadar usaha sekali-sekala.
"Penjenayah siber tidak akan berhenti selepas satu serangan. Jika mereka menemui kelemahan, sama ada kata laluan yang lemah, perisian lapuk atau e-mel yang digodam, mereka akan kembali berkali-kali, selalunya dengan cara yang berbeza," katanya dalam satu kenyataan.
Penipuan dan skim penipuan adalah jenis jenayah siber yang paling kurang berlaku, menjejaskan 9.5 peratus daripada peserta tinjauan pada 2024, tetapi mangsa kategori ini paling terdedah kepada serangan jenis lain.
Mangsa yang mengalami tiga atau lebih jenis jenayah siber didapati sekurang-kurangnya tiga kali ganda lebih berisiko mengalami kesan terhadap kesihatan, kewangan dan undang-undang berbanding mangsa yang hanya mengalami satu jenis serangan, menurut laporan itu.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami