HYDERABAD: Kerajaan baharu Tamil Nadu memenangi undi percaya di dewan undangan negeri dengan selesa pada Rabu walaupun parti Ketua Menteri C. Joseph Vijay tidak mempunyai majoriti mencukupi untuk membentuk kerajaan secara sendiri.
Kerajaan Tamilaga Vettri Kazhagam (TVK) yang dibentuk pada 10 Mei itu menerima sokongan parti-parti kecil serta sekumpulan wakil rakyat All India Anna Dravida Munnetra Kazhagam (AIADMK) yang tidak sehaluan dengan kepimpinan parti semasa undi percaya berkenaan.
Kerajaan itu disokong 144 anggota dewan, manakala 22 undi menentang dalam dewan yang mempunyai 234 kerusi.
Anggota dewan daripada parti pemerintah terdahulu Dravida Munnetra Kazhagam (DMK), yang memenangi 59 kerusi dalam pilihan raya dan diketuai di dewan oleh bekas timbalan ketua menteri Udhayanidhi Stalin, bertindak keluar dewan sebelum pengundian dijalankan.
TVK memenangi 108 kerusi dalam pilihan raya dewan undangan negeri pada April, namun gagal mencapai 118 kerusi yang diperlukan untuk memperoleh majoriti mudah
Parti itu membentuk kerajaan selepas menerima sokongan daripada Indian National Congress, Parti Komunis India (CPI), Parti Komunis India-Marxis (CPI-M), Viduthalai Chiruthaigal Katchi (VCK) dan Liga Persatuan Muslim India (IUML).
Amma Makkal Munnettra Kazagam yang dipimpin T.T.V. Dhinakaran pada Selasa memecat satu-satunya anggota dewannya, S. Kamaraj selepas beliau menyokong kerajaan Vijay.
-- BERNAMA