Lebih 400 juta kanak-kanak di seluruh dunia terjejas akibat kemiskinan - UNICEF

Menurut UNICEF, 412 juta kanak-kanak di seluruh dunia terjejas oleh kemiskinan monetari, iaitu hidup dengan kira-kira AS$3 sehari, namun angka itu "hanya menceritakan sebahagian daripada kisah sebenar". - Gambar fail Reuters
GENEVA: Seramai 417 juta kanak-kanak di negara berpendapatan rendah dan sederhana mengalami kekurangan ketara dalam aspek pendidikan, kesihatan dan pemakanan, menurut laporan agensi kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) yang dikeluarkan pada Khamis, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
UNICEF berkata, kanak-kanak di sub-Sahara Afrika merupakan kumpulan paling terjejas, manakala Asia Selatan, Asia Timur dan Pasifik turut mencatat kadar kekurangan yang tinggi.
Organisasi itu berkata, "kemajuan ketara" dalam memerangi kemiskinan kanak-kanak sejak awal abad ini kini berada dalam keadaan berisiko, susulan kerajaan di seluruh dunia mengurangkan pembiayaan penting untuk kerjasama pembangunan dan bantuan kemanusiaan.
"Perubahan iklim dan konflik mengancam pendorongan lebih banyak keluarga jatuh ke dalam kemiskinan," menurut laporan itu.
Menurut UNICEF, 412 juta kanak-kanak di seluruh dunia terjejas oleh kemiskinan monetari, iaitu hidup dengan kira-kira AS$3 sehari, namun angka itu "hanya menceritakan sebahagian daripada kisah sebenar".
"Kekurangan sanitasi adalah paling meluas, dengan 65 peratus kanak-kanak di negara berpendapatan rendah tidak mempunyai akses kepada tandas," katanya.
Pengarah Eksekutif UNICEF, Catherine Russell berkata, kemiskinan kanak-kanak berjaya dikurangkan secara signifikan antara 2014 dan 2024 hasil usaha politik.
Beliau menggesa kerajaan dan sektor perniagaan menyediakan dana bagi perkhidmatan penting untuk kanak-kanak dan bukannya menarik balik pembiayaan.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


