Skip to main content

Malaysia

Bekas pemain bola sepak Kelantan, rakan mengaku tidak bersalah culik lelaki

https://www.sinarharian.com.my/article/775395/berita/semasa/bekas-penyerang-kelantan-fa-didakwa-culik-pemilik-kedai-emas
Cik Hisammudin (kanan, baju lokap ungu) bersama Saufi (kiri, seluar lokap oren) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen pada Ahad atas pertuduhan melarikan seorang pemilik kedai emas dalam kejadian di Kampung Palekbang, Tumpat tahun lalu. - Gambar/ Sinar Harian

PASIR MAS: Bekas pemain bola sepak Kelantan dan rakannya mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan melarikan dan mengurung seorang lelaki, tahun lepas.

Cik Hisammudin Hassan, 51, dan Saufi Ariffin, 24, didakwa secara bersama telah melarikan Marzuki Mustapha, 45, secara paksa dengan niat hendak mengurung dengan sulit dan salah.

Advertisement

Perbuatan itu dilakukan di tepi jalan Kampung Palekbang, Tumpat, pada kira-kira 7.20 pagi, 20 Mei 2025.

Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun yang sama memperuntukkan hukuman penjara hingga tujuh tahun dan denda.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Siti Aiysha Na’ilah Harizan manakala Cik Hisammudin diwakili peguam Heather Marie Anthony sementara Saufi tidak diwakili peguam.

Terdahulu, Siti Aiysha Na’ilah menawarkan jaminan RM20,000 bagi setiap tertuduh memandangkan kes itu adalah serius namun Heather Marie memohon jumlah jaminan minimum diberikan.

Hakim Zulkpli Abdullah kemudian menawarkan jaminan RM12,000 setiap seorang dan menetapkan 18 Mei sebagai tarikh sebutan semula kes.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video