PORT MORESBY : Sekurang-kurangnya 53 orang maut dalam serangan hendap di wilayah tanah tinggi terpencil di Papua New Guinea.

Mangsa ditembak mati semasa pertikaian suku di wilayah Enga pada hujung minggu, kata jurucakap polis negara kepada BBC.

Pihak berkuasa telah merayu untuk bertenang dan memberi peringatan angka kematian dijangka meningkat.

Kawasan tanah tinggi itu telah lama bergelut dengan keganasan, tetapi pembunuhan ini dipercayai paling teruk berlaku dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

Ketika ini, polis telah mula mengumpul mayat di tempat kejadian berhampiran bandar Wabag - kira-kira 600km (373 batu) barat laut ibu kota Port Moresby.

"Ini adalah [pembunuhan] terbesar yang pernah saya lihat di Enga, mungkin di seluruh tanah tinggi juga.

"Kami semua sangat lelah, tertekan secara mental. Sukar untuk dijelaskan," kata Pemangku Ketua Polis Papua New Guinea, George Kakas seperti dilaporkan Perbadanan Penyiaran Australia (ABC).

Konflik suku yang semakin memuncak – lazimnya berkaitan dengan pengagihan tanah dan kekayaan - membawa kepada penutupan selama tiga bulan di Wilayah Enga pada Julai lalu dan polis mengenakan perintah berkurung dan sekatan perjalanan.

Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, kemasukan senjata api haram telah menjadikan pertempuran lebih maut dan mencetuskan keganasan yang berulang.

Menurut Gabenor Peter Ipatas, terdapat tanda-tanda bahawa pertempuran akan meletus lagi menjelang serangan hendap, menurut ABC.

"Dari perspektif wilayah, kami tahu pergaduhan ini akan berlaku dan kami memaklumkan kepada pasukan keselamatan minggu lalu untuk memastikan mereka mengambil tindakan sewajarnya bagi memastikan perkara ini tidak berlaku," kata Peter.

Keselamatan secara lebih meluas kekal menjadi kebimbangan utama bagi PNG.

Kerajaan bulan lalu mengisytiharkan darurat selepas rusuhan besar dan rompakan menyebabkan sekurang-kurangnya 15 orang terbunuh.

Australia - salah satu sekutu terdekat negara itu berkata, laporan pembunuhan itu "sangat membimbangkan."

"Kami menyediakan sokongan yang besar, terutamanya untuk melatih pegawai polis dan untuk keselamatan di Papua New Guinea," kata Perdana Menteri Anthony Albanese dalam wawancara radio pada Isnin. - BBC