Lebih 650,000 kanak-kanak Gaza tidak bersekolah tiga tahun berturut-turut

UNRWA berkata lebih 650,000 kanak-kanak di Semenanjung Gaza telah dinafikan hak untuk mendapat pendidikan selama tiga tahun berturut-turut. - Gambar fail/REUTERS
ISTANBUL: Agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin (UNRWA) pada Khamis berkata lebih 650,000 kanak-kanak di Semenanjung Gaza telah dinafikan hak untuk mendapat pendidikan selama tiga tahun berturut-turut.
"Di Gaza, kanak-kanak tidak bersekolah untuk tahun ketiga berturut-turut," kata UNRWA di platform X, menurut Anadolu Ajansi (AA).
"Bagi hampir 660,000 kanak-kanak lelaki dan perempuan, kembali ke sekolah dan menyambung semula proses pembelajaran bukan hanya tentang pendidikan, ia adalah mengenai permulaan untuk pulih daripada trauma yang mendalam."
Sebagai organisasi kemanusiaan terbesar di Gaza, UNRWA bersedia untuk menyokong mereka, tambah agensi itu.Pengarah Perhubungan Luar UNRWA Tamara Alrifai berkata "keutamaan UNRWA ialah pendidikan untuk kanak-kanak serta penyambungan semula pembelajaran mereka."
Sejak Okt 2023, serangan Israel telah membunuh hampir 68,000 rakyat Palestin di wilayah itu, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, sekali gus menyebabkan sebahagian besar kawasan berkenaan tidak dapat didiami.
Serangan itu juga telah memusnahkan sebahagian atau keseluruhan 97 peratus bangunan sekolah di Gaza, menurut Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA).
Perjanjian gencatan senjata dicapai antara Israel dan Hamas minggu lepas berdasarkan pelan yang dikemukakan oleh Presiden Amerika Syarikat Donald Trump.
Fasa pertama termasuk pembebasan tawanan Israel sebagai pertukaran untuk tahanan Palestin. Pelan itu juga merangkumi usaha membina semula Gaza serta pembentukan mekanisme tadbir urus baharu tanpa penyertaan Hamas.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami