Malaysia terima anugerah tertinggi global, iktiraf komitmen negara dalam pengurusan sisa

KPKT memaklumkan anugerah itu akan disampaikan minggu ini di Forum Sifar Sisa Global 2025, yang bermula esok hingga 19 Okt di Istanbul, Turkiye dan dijangka menghimpunkan peserta dari 104 negara serta 118 rakan organisasi antarabangsa. - BERNAMA
KUALA LUMPUR: Malaysia dijadual menerima Anugerah Penghargaan Khas Zero Waste Foundation, kategori tertinggi bagi anugerah itu sebagai pengiktirafan terhadap komitmen negara dalam mempromosikan prinsip ekonomi kitaran dan pengurusan sisa mampan.
Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan dalam kenyataan memaklumkan anugerah itu akan disampaikan minggu ini di Forum Sifar Sisa Global 2025, yang bermula esok hingga 19 Okt di Istanbul, Turkiye dan dijangka menghimpunkan peserta dari 104 negara serta 118 rakan organisasi antarabangsa.
Sementara itu, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming, yang mengetuai delegasi Malaysia ke forum berkenaan berkata beliau berbangga mewakili negara di pentas dunia bagi menunjukkan kemajuan yang telah dicapai serta mempelajari amalan terbaik negara lain dalam memajukan agenda sifar sisa.
"Sebagai Presiden Perhimpunan Program Penempatan Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN-Habitat), saya menyambut baik usaha mengukuhkan kerjasama dengan pakar sifar sisa dan rakan global bagi mempercepatkan penyelesaian bandar mampan," katanya dalam kenyataan itu.Sempena forum yang bertemakan "Zero Waste in Action: People, Places, Progress" itu, Nga dijadual menyampaikan ucaptama pada majlis pembukaan.
Nga juga akan mengadakan beberapa mesyuarat dua hala, termasuk dengan Menteri Alam Sekitar, Perbandaran dan Perubahan Iklim Turkiye Murat Kurum dan Pengarah Eksekutif UN-Habitat Anaclaudia Roserbach, dengan tumpuan kepada usaha mengarusperdanakan Agenda Bandar Baharu dalam proses Konvensyen Rangka Kerja Perubahan Iklim PBB dan kemajuan inisiatif sifar sisa global.
Selain itu, Nga akan menghadiri Mesyuarat Menteri bagi Perbandaran dan Sifar Sisa serta dijadual menyampaikan ucaptama di Pembukaan Sesi Plenari yang bertamakan "Sifar Sisa sebagai Tanggungjawab Global".
Dianjurkan oleh Zero Waste Foundation, forum itu menghimpunkan pemimpin global, pakar dan pembuat keputusan bagi membincangkan masa lalu, kini dan akan datang sifar sisa.
Yayasan itu yang ditubuhkan di bawah naungan wanita pertama Turkiye, Emine Erdogan, bekerjasama rapat dengan UN-Habitat bagi menggalakkan kesedaran global dan kerjasama dalam mencapai bandar bebas sisa dan mampan.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami