DUNIA
Lebih 90 rakyat Palestin maut dalam pengeboman Israel, Gaza City kian musnah

Kanak-kanak Palestin meninjau lokasi serangan Israel ke atas sebuah khemah yang menempatkan penduduk pelarian, ketika operasi ketenteraan Israel berlangsung di Gaza City pada Sabtu. - Gambar Reuters
GAZA: Sekurang-kurangnya 91 rakyat Palestin dilaporkan terbunuh sejak awal pagi Sabtu susulan serangan udara berterusan Israel ke atas Gaza City, pusat bandar utama di wilayah yang terkepung itu.
Sumber perubatan di hospital-hospital Gaza memaklumkan, 76 daripada jumlah korban berlaku di Gaza City sahaja – kawasan yang menjadi sasaran usaha Israel untuk mengusir penduduknya sejak beberapa minggu lalu.
Di kejiranan Tuffah, enam penduduk maut dalam serangan dron Israel, manakala di kem Shati di barat Gaza City, lima mangsa termasuk dua kanak-kanak perempuan terkorban akibat serangan peluru berpandu.
Tentera Israel turut menganggarkan mereka telah meruntuhkan sehingga 20 blok menara dalam tempoh dua minggu kebelakangan ini.Menurut Pertahanan Awam Gaza, sekitar 450,000 penduduk – hampir separuh daripada jumlah populasi bandar itu – telah melarikan diri sejak Israel mengumumkan rancangan untuk menawan serta menduduki Gaza City pada Ogos lalu.

Penduduk Palestin yang hilang tempat tinggal melarikan diri dari utara Gaza, bergerak ke arah selatan selepas tentera Israel mengarahkan penduduk Gaza City untuk berbuat demikian. - Gambar Reuters
Wartawan Al Jazeera, Hind Khoudary melaporkan dari Gaza Tengah bahawa tentera Israel menyerang orang awam ketika mereka cuba melarikan diri daripada kawasan kediaman masing-masing.
“Orang ramai mendakwa dron mini digunakan untuk menembak mereka yang melarikan diri dan setiap kali ia meletup, gegarannya dirasakan seperti gempa bumi,” katanya.
Sementara itu, Hamas pada Sabtu mengeluarkan kenyataan bergambar yang digelar sebagai “gambar perpisahan” 48 tawanan Israel yang masih ditahan di Gaza.
Hamas sebelum ini berulang kali memberi amaran bahawa serangan darat dan pengeboman Israel mengancam nyawa para tawanan, dengan sebahagian daripadanya telah dilaporkan terbunuh akibat serangan udara.
Situasi di al-Mawasi semakin meruncing
Di selatan Gaza, tentera Israel meneruskan operasi ketenteraan dengan tiga lagi mangsa terkorban ketika cuba mendapatkan bantuan di pusat pengagihan berhampiran Rafah.
Keadaan di kawasan al-Mawasi – yang digelar Israel sebagai “zon selamat” – turut dilaporkan kritikal.
Ribuan penduduk yang melarikan diri ke kawasan itu kini hidup dalam keadaan penuh sesak tanpa kemudahan asas.
“Kami lihat khemah-khemah didirikan di tepi jalan tanpa bekalan air, elektrik mahupun infrastruktur,” kata Khoudary.
Seorang wakil perubatan Doktor Tanpa Sempadan, Michail Fotiadis menyifatkan keadaan di al-Mawasi sebagai “sangat memilukan.”
“Ramai cuba mencari tapak untuk mendirikan khemah tetapi bahan binaan tidak mencukupi. Akses air juga amat sukar,” jelasnya.
Menurut beliau, semakin ramai penduduk tiba dari utara Gaza dengan hanya sehelai sepinggang selepas melarikan diri daripada serangan tentera Israel.
“Biasanya dalam keadaan sebegini, keutamaan adalah untuk terus hidup. Tetapi rakyat Palestin sudah melalui pelbagai siri perpindahan paksa dan ketakutan... mereka sangat putus asa dan benar-benar terdesak,” katanya. - Agensi

Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami