BANGKOK: Lebih daripada 92,000 kanak-kanak sekolah rendah di Bangkok dilaporkan berisiko terdedah kepada penyalahgunaan dadah terutama mereka yang membesar dalam keluarga miskin dengan ibu bapa yang mengambil dadah.

Memetik Bangkok Post, sebuah kajian dijalankan Institut Kebangsaan Pembangunan Kanak-Kanak dan Keluarga (NICFD) Universiti Mahidol ke atas 1,309 keluarga setinggan di bandar itu yang memiliki sekurang-kurangnya seorang anak berumur sehingga enam tahun.

Daripada jumlah itu, didapati 6 peratus daripadanya atau 83 keluarga memiliki ibu bapa atau penjaga dengan sejarah masalah penagihan dadah.

Pengarah Agung NICFD, Dr. Adisak Plitapolkarnpim memaklumkan sekurang-kurangnya 154,800 keluarga miskin tanpa anak atau memiliki anak di peringkat sekolah rendah, terdiri daripada ibu bapa atau penjaga dengan sejarah penagihan dadah.

Daripada jumlah isi keluarga itu, dianggarkan seramai 92,880 kanak-kanak tergolong dalam demografi usia tersebut.

Bagi kajian ini, NICFD memberitahu “keluarga miskin” dimaksudkan mereka yang menerima subsidi bulanan sebanyak 600 Baht selama enam tahun sejak lahir.

Sementara itu, Dr. Adisak mencadangkan agar kerajaan memberi keutamaan kepada pelaburan dalam kalangan kanak-kanak peringkat sekolah rendah, seperti latihan psikologi untuk membantu mereka mengawal keinginan untuk mencuba dadah.

Pensyarah NICFD, Panadda Thanasettakorn berkata, orang dewasa bertanggungjawab untuk membina persekitaran yang sesuai bagi membantu membesarkan kanak-kanak dengan cara yang tidak kejam dan memperkukuh kemampuan emosi mereka untuk menahan keinginan untuk mengambil dadah.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pengarah NICFD, Dr. Apichat Jitcharoen mengemukakan sebuah kajian lain yang sedang dijalankan oleh jabatan tersebut mengenai kesan ganja terhadap janin.

Beliau menyatakan bahawa ini merupakan satu bentuk keprihatinan kerana semakin ramai wanita hamil kini menghisap ganja semasa hamil terutama dalam kalangan komuniti miskin.