DUNIA
Lee Jae-myung menang Pilihan Raya Presiden Korea Selatan

Lee Jae-myung daripada Parti Demokratik yang berhaluan liberal telah dipilih sebagai Presiden ke-21 Korea Selatan selepas memperoleh kemenangan dalam Pilihan Raya Presiden yang berlangsung pada Selasa. - Gambar AP
SEOUL: Lee Jae-myung daripada Parti Demokratik yang berhaluan liberal telah dipilih sebagai Presiden ke-21 Korea Selatan.
Ia selepas beliau memperoleh kemenangan dalam Pilihan Raya Presiden yang berlangsung pada Selasa, menurut Suruhanjaya Pilihan Raya Kebangsaan (NEC) negara itu.
Selepas selesai pengiraan semua undi, Jae-myung memperoleh 49.42 peratus undi, mengatasi pencabarnya Kim Moon-soo daripada Parti Kuasa Rakyat yang konservatif yang meraih 41.15 peratus, manakala calon Parti Reformasi, Lee Jun-seok, menerima 8.34 peratus undi.
Kemenangan Jae-myung disahkan selepas Moon-soo mengakui kekalahan dan mengucapkan tahniah kepada beliau, sekali gus menamatkan tempoh ketidaktentuan politik susulan pemecatan Presiden Yoon Suk Yeol pada akhir tahun lalu.“Saya tidak akan melupakan amanah yang telah diberikan oleh rakyat,” kata Jae-myung kepada para penyokongnya di hadapan Bangunan Perhimpunan Kebangsaan di Seoul.
Pada masa sama, beliau berikrar untuk melaksanakan tanggungjawab yang diberi tanpa gagal dan memastikan keamanan dan keselamatan berkekalan di Semenanjung Korea.
Pilihan raya ini mencatatkan kadar keluar mengundi sebanyak 77.8 peratus, antara yang tertinggi dalam sejarah pilihan raya Korea Selatan, dengan lebih 35 juta daripada 44.39 juta pengundi layak menunaikan tanggungjawab mereka di 14,295 pusat mengundi di seluruh negara.
Jae-myung yang pernah tewas tipis kepada Suk Yeol dalam pilihan raya 2022, kini kembali sebagai pemimpin negara selepas tempoh peralihan kuasa yang singkat.
Majlis angkat sumpah dijadualkan berlangsung pada Rabu, hanya beberapa jam selepas keputusan rasmi diumumkan.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami