Guayaquil, Ecuador: Sekumpulan penjenayah memecah masuk studio sebuah stesen televisyen yang sedang bersiaran secara langsung di Ecuador dan mengancam krew penerbitan rancangan itu, pada Selasa.

Siaran langsung di stesen televisyen TC di bandar Guayaquil itu telah diterjah kumpulan yang mengenakan baju panas berserkup dan membawa senjata api.

Kumpulan penjenayah itu juga telah memaksa kakitangan stesen televisyen itu berbaring di lantai dan menghentikan siaran langsung rancangan berkenaan.

Kesemua lelaki yang tidak dapat dikesan wajah mereka meninggalkan studio TC tidak lama selepas itu, sementara anggota polis pula memasuki set kira-kira 30 minit selepas kumpulan penjenayah itu muncul.

Sekumpulan pegawai dan anggota polis negara di Quito dan Guayaquil telah dikerahkan ke tempat kejadian.

Sementara itu, jurucakap polis Ecuador berkata, kesemua kakitangan telah dipindahkan dari studio dan beberapa suspek telah ditangkap.

Ecuador diisytiharkan darurat selama 60 hari berkuat kuasa Isnin lepas susulan seorang ketua kumpulan samseng yang hilang dari sel penjaranya.

Susulan kejadian di stesen televisyen itu, Presiden Ecuador, Daniel Noboa menandatangani perintah eksekutif yang mengisytiharkan konflik bersenjata dalaman dan menyenaraikan beberapa kumpulan jenayah terancang sebagai "organisasi pengganas" dan "kumpulan penjenayah."

Noboa turut mengarahkan pasukan keselamatan untuk menghalang beberapa kumpulan jenayah yang dituduh mencetuskan keganasan ekstrem di negara itu.

Universiti Guayaquil berkata, semua aktiviti akademik dan pentadbiran telah digantung memandangkan pergolakan sosial di seluruh negara.

Sekurang-kurangnya tujuh pegawai polis telah diculik oleh ahli kumpulan sejak darurat diisytiharkan.

Langkah itu diperkenalkan oleh Presiden Noboa selepas ketua kumpulan Los Choneros hilang dari penjara keselamatan pada Ahad.

Pegawai berkata, Fito atau nama sebenarnya Adolfo Macías Villamar, tidak berada di dalam selnya pada pagi Ahad ketika polis tiba untuk memindahkannya ke penjara lain dalam pekarangan yang sama.

Hampir 40 banduan lain termasuk seorang lagi raja dadah yang disabitkan bersalah meloloskan diri dari penjara lain di bandar Riobamba pada awal pagi Selasa.

Masih belum dapat dipastikan pada peringkat ini sama ada serbuan ke atas stesen televisyen itu dikaitkan dengan pelarian banduan, namun, situasi itu memberi gambaran keadaan keselamatan di Ecuador. - Agensi