WASHINGTON: Syarikat pengimejan satelit Planet Labs mengumumkan ia akan menggantung tanpa tempoh masa edaran visual satelit membabitkan Iran dan kawasan konflik di Asia Barat, susulan permintaan kerajaan Amerika Syarikat (AS).
Dalam e-mel kepada pelanggan pada Sabtu, syarikat berpangkalan di California itu berkata kerajaan AS telah meminta semua penyedia imejan satelit komersial supaya menahan pelepasan imej kawasan konflik berkenaan bagi tempoh yang tidak ditetapkan.
Advertisement
Sekatan itu meluaskan langkah terdahulu Planet Labs yang mengenakan kelewatan 14 hari terhadap imej Asia Barat bulan lalu, dengan tujuan menghalang pihak musuh daripada memanfaatkan imej komersial untuk menyerang AS dan sekutunya.
Planet Labs berkata imej yang diambil sejak 9 Mac lalu turut akan ditahan dan dasar itu dijangka berkuat kuasa sehingga konflik berakhir.
Perang tercetus pada 28 Februari apabila AS dan Israel melancarkan serangan ke atas Iran, sebelum Tehran bertindak balas dengan serangan ke atas Israel dan pangkalan AS di beberapa negara Teluk termasuk Arab Saudi, Kuwait dan Bahrain.
Teknologi satelit memainkan peranan penting dalam kegunaan ketenteraan, termasuk pengecaman sasaran, panduan senjata dan pengesanan peluru berpandu.
Beberapa pakar angkasa menyatakan Iran mungkin memperoleh akses kepada imej komersial, termasuk melalui negara yang bermusuhan dengan AS.
Pada masa sama, imej satelit turut digunakan oleh wartawan dan ahli akademik untuk mengkaji kawasan yang sukar diakses.
Planet Labs memaklumkan ia akan beralih kepada “pengedaran imej terkawal”, dengan pelepasan dibuat secara kes demi kes bagi keperluan mendesak, misi kritikal atau demi kepentingan awam.
“Ini adalah keadaan luar biasa, dan kami berusaha menyeimbangkan keperluan semua pihak berkepentingan,” katanya.
Pentagon pula enggan mengulas mengenai perkara berkaitan risikan. Sementara itu, penyedia imej satelit lain, Vantor, berkata ia tidak menerima permintaan rasmi daripada kerajaan AS tetapi sedang melaksanakan kawalan akses dipertingkat bagi sebahagian Asia Barat.
Sebuah lagi syarikat, BlackSky Technology, belum memberi sebarang komen.