Skip to main content

Dunia

Lelaki didakwa hantar ratusan surat ugutan kepada pegawai pilihan raya AS

Menurut FBI, surat-surat yang dihantar pada awal Oktober itu ditujukan kepada pegawai pilihan raya di kesemua 50 negeri AS. - Foto fail/REUTERS
Menurut FBI, surat-surat yang dihantar pada awal Oktober itu ditujukan kepada pegawai pilihan raya di kesemua 50 negeri AS. - Foto fail/REUTERS

Ringkasan AI

  • Robin Martin, 67, dari Oklahoma City didakwa menghantar ratusan surat ugutan mengandungi serbuk putih kepada pegawai pilihan raya dan organisasi lain di seluruh Amerika Syarikat.
  • FBI mengesahkan serbuk dalam surat tersebut adalah yis atau tepung yang tidak berbahaya, dan Martin kini ditahan sehingga pendengaran mahkamah pada 9 November.
  • Penyiasatan mendapati Martin menggunakan alamat berkaitan Democratic Socialists of America dan cap jari serta rakaman kamera mengaitkannya dengan surat ugutan itu.
Advertisement

WASHINGTON: Seorang lelaki dari Oklahoma City didakwa menghantar ratusan surat ugutan yang mengandungi serbuk putih kepada pegawai pilihan raya negeri, anggota perundangan, firma tinjauan pendapat dan organisasi media menjelang pilihan raya pertengahan penggal Kongres Amerika Syarikat (AS).

Robin Martin, 67, didakwa di Mahkamah Daerah AS atas tuduhan menyebarkan maklumat palsu atau mengelirukan, melakukan tipu daya serta menghantar komunikasi berbentuk ugutan melalui pos.

Menurut Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI), ujian terhadap serbuk yang ditemui dalam surat berkenaan mendapati ia hanyalah yis atau tepung dan tidak berbahaya.

Advertisement

Martin, yang ditahan pada Isnin, diarahkan ditahan sementara sehingga sesi pendengaran mahkamah yang dijadualkan pada 9 November.

Penolong Peguam Negara bagi Keselamatan Negara, John A Eisenberg, berkata tindakan itu merupakan cubaan terancang untuk menakut-nakutkan penjawat awam.

Advertisement

"Ugutan seperti ini tidak mempunyai tempat dalam sebuah negara yang berlandaskan kedaulatan undang-undang," katanya.

Menurut FBI, surat-surat yang dihantar pada awal Oktober itu ditujukan kepada pegawai pilihan raya di kesemua 50 negeri AS.

Agensi itu juga percaya Martin pernah menghantar surat ugutan serupa kepada pegawai pilihan raya dan perkhidmatan pos pada 2024.

Siasatan mendapati beberapa surat berkenaan menggunakan alamat pemulangan lama milik Democratic Socialists of America (DSA) di New York.

FBI turut mendakwa Martin menghubungi DSA pada Ogos lalu dan memperoleh alamat e-mel ahli organisasi itu sebelum mereka menerima mesej ugutan yang memberi amaran bahawa mereka boleh ditahan jika mengundi.

Pihak berkuasa turut mengaitkan Martin dengan surat ugutan yang dihantar pada 2024 yang mendakwa Presiden Donald Trump memenangi pilihan raya 2020 serta membangkitkan isu berkaitan integriti pilihan raya.

Menurut FBI, bukti rakaman kamera pengawasan di beberapa fasiliti pos dan sebuah kedai Walmart membantu menghubungkan Martin dengan surat-surat berkenaan, termasuk pembelian telefon yang dipercayai digunakan dalam ugutan tersebut.

Penyiasat juga menemui cap jari Martin pada sepucuk surat yang dihantar kepada Pengarah FBI, Kash Patel.

Surat itu mengandungi mesej tersembunyi menggunakan dakwat reaktif ultraungu dengan tulisan "FBI SAVE THE USA", yang turut ditemui pada beberapa surat ugutan lain.

 

 

Must Watch Video

Advertisement