Skip to main content

Malaysia

PISC 2027 berlangsung 30, 31 Januari di Kangar

Tuanku Syed Faizuddin berkenan merasmikan Simposium Guru Agama dan Penganugerahan Tauliah Mengajar Agama Islam Negeri Perlis 2026 di Dewan Warisan, Kangar, 3 Nov 2026. Turut kelihatan, Mohd Asri (kanan) dan Menteri Besar Perlis Abu Bakar Hamzah (kiri). - Foto Astro AWANI
Tuanku Syed Faizuddin berkenan merasmikan Simposium Guru Agama dan Penganugerahan Tauliah Mengajar Agama Islam Negeri Perlis 2026 di Dewan Warisan, Kangar, 3 Nov 2026. Turut kelihatan, Mohd Asri (kanan) dan Menteri Besar Perlis Abu Bakar Hamzah (kiri). - Foto Astro AWANI
Advertisement

KANGAR: Perlis International Sunnah Convention (PISC) 2027 dijadualkan berlangsung pada 30 dan 31 Januari tahun depan di Dewan 2020, di sini.

Konvensyen itu turut disusuli beberapa pengisian awal pada 29 Januari, termasuk tazkirah ringkas dan khutbah Jumaat.

Pengumuman tarikh penganjuran itu disempurnakan Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menerusi simbolik khas pada Simposium Guru Agama dan Majlis Penganugerahan Tauliah Mengajar Agama Islam Negeri Perlis 2026 di Dewan Warisan, di sini.

Advertisement

Penganjuran PISC 2027 dijangka menjadi platform penting dalam memperluas wacana ilmu berteraskan al-Quran dan Sunnah, selain memperkukuh kedudukan Perlis sebagai negeri yang memberi penekanan terhadap penghayatan ilmu dan pendidikan Islam berteraskan Sunnah.

Dalam titahnya, Tuanku Syed Faizuddin menegaskan guru agama memikul tanggungjawab besar dalam membimbing masyarakat memahami dan mengamalkan ajaran Islam dengan betul.

Advertisement

Menurut baginda, peranan guru agama bukan sekadar menyampaikan ilmu, malah turut merangkumi pembentukan akhlak, pengukuhan nilai murni serta pendidikan generasi muda.

Sehubungan itu, baginda bertitah setiap guru agama perlu mempunyai asas ilmu yang kukuh, mengamalkan ilmu yang disampaikan serta menunjukkan teladan peribadi yang baik.

Keikhlasan, ketakwaan dan kesungguhan untuk terus menambah ilmu juga perlu menjadi pegangan dalam melaksanakan amanah berkenaan.

Baginda turut menegaskan pembangunan negeri perlu bergerak seiring dengan kemajuan pendidikan, pengukuhan nilai agama dan pembentukan akhlak masyarakat bagi melahirkan generasi berilmu, berdisiplin serta mempunyai pegangan agama yang kukuh.

Keberangkatan tiba baginda disambut Mufti Perlis, Datuk Prof Dr Mohd Asri Zainul Abidin.

Simposium anjuran Jabatan Mufti Negeri Perlis dengan kerjasama Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) itu bertujuan memperkukuh profesionalisme guru agama, meningkatkan kefahaman mengenai tanggungjawab pengajaran agama serta memastikan penyampaian ilmu Islam kepada masyarakat dilaksanakan individu berkelayakan dan bertauliah.

Dalam usaha meningkatkan mutu penyampaian perkhidmatan, majlis itu turut menyaksikan pelancaran dua inisiatif pendigitalan, iaitu Kad Tauliah Mengajar Agama Islam Digital dan Portal e-Tauliah.

Kad digital berkenaan berfungsi sebagai pengenalan rasmi pemegang tauliah dalam format digital, manakala Portal e-Tauliah memudahkan urusan permohonan dan pembaharuan tauliah secara dalam talian.

Pada majlis sama, Tuanku Syed Faizuddin turut berkenan menyempurnakan pengurniaan Tauliah Mengajar Agama Islam Negeri Perlis kepada sembilan penerima Tauliah Umum serta seorang wakil penerima Tauliah Mengajar al-Quran.

Must Watch Video

Advertisement