LIMA: Seorang suspek perampas treler ditahan pada Isnin malam selepas dikejar polis dalam keadaan berbahaya melalui beberapa jalan di Lima, ibu negara Peru.

Kamera keselamatan di perbandaran Ate, timur Lima, menunjukkan lelaki itu melarikan diri dengan panik melalui beberapa jalan di daerah itu.

Treler berkenaan kemudian berlanggar dengan kenderan peronda polis dan bergerak dalam keadaan bersimpang siur tanpa mengendahkan arahan pegawai polis.

Menurut laporan polis, pemandu berusia 33 tahun, seorang pekerja syarikat pengangkutan kargo, melencong dari laluan yang sepatutnya hingga membuat majikannya menghubungi pihak berkuasa.

Pemandu itu merempuh tiang lampu dan dibawa ke hospital selepas ditembak di dada semasa proses tangkapan dilakukan.

Bagaimanapun, tiada pemandu lain atau orang awam yang cedera semasa insiden kejar mengejar itu berlaku.