SEORANG lelaki dilaporkan mengoyak Al-Quran sambil menjerit di hadapan jemaah di salah satu masjid di Markham, Ontario, Kanada baru-baru ini. 

Memetik CNN Indonesia, Majlis Nasional Muslim Kanada (NCCM) memaklumkan pihaknya sedih dengan kejadian yang berlaku pada 6 April lalu.

"Kami sangat sedih mengetahui tindakan kebencian ini berlaku di masjid di Markham, di mana seorang individu mengeluarkan kata-kata cacian, merobek Al-Quran dan cuba melanggar jemaah dengan kenderaannya," demikian kenyataan NCCM di Twitter pada Ahad.

NCCM kemudian melampirkan kenyataan rasmi Islamic Society of Markham (ISM) iaitu lokasi masjid insiden berlaku.

"Individu itu membawa kereta ke dalam masjid. Apabila masuk ke dalam masjid, dia mengoyak al-Quran, mengeluarkan kata-kata cacian yang berbau perkauman dan Islamofobia kepada para jemaah," demikian kenyataan ISM.

Menurut ISM, selepas kejadian itu, lelaki itu cuba melanggar beberapa jemaah menggunakan keretanya. Walau bagaimanapun, pihak berkuasa Kanada kemudian berjaya menahan lelaki tersebut.

"Kami menghargai sokongan Polis Kawasan York yang bertindak pantas untuk memastikan keselamatan kami dan pada pengetahuan kami, pelaku berjaya ditahan," tulis ISM.

Melalui kenyataan di laman web rasmi, polis juga mengumumkan bahawa mereka telah menahan lelaki itu yang kemudian dihadapkan dengan beberapa tuduhan jenayah.

Kejadian ini menarik perhatian selepas Menteri Perdagangan Kanada, Mary Ng, mengutuk tindakan di Masjid Islamic Society of Markham itu pada hujung minggu lalu.

"Saya sangat terganggu mendengar tentang tindakan kebencian dan perkauman di Islamic Society of Markham. Saya menyokong komuniti Muslim di Markham dan Kanada. Kekerasan seperti ini dan Islamofobia tiada tempat dalam komuniti kami," tulis Ng membalas tweet NCCM.