Seorang lelaki Islam telah dipukul di luar masjid di Florida pada Sabtu, iaitu pusat Islam yang pernah dikunjungi lelaki yang menyebabkan kematian 49 orang di sebuah kelab hiburan dekat Orlando, bulan lalu.

Butiran serangan tersebut bagaimanapun berbeza antara pihak berkuasa dan kumpulan hak asasi Islam, terutamanya sama ada ia ada kaitan dengan diskriminasi kaum.

Pejabat Sherif St. Lucie berkata serangan di luar Pusat Islam Fort Pierce itu dilaporkan kira-kira jam 4.11 pagi waktu tempatan, dan mangsa yang ditumbuk di kepala dan muka dijumpai dalam keadaan mulutnya berdarah.

Suspek kejadian itu, Taylor Anthony Mazzanti, 25, telah ditahan tidak lama selepas itu dan berdepan dakwaan sengaja mendatangkan kecederaan.

“Temu bual oleh pihak berkuasa di lokasi kejadian dan kenyataan bertulis yang dibuat oleh mangsa tidak menunjukkan wujudnya sebarang unsur kata-kata yang menjurus kepada isu warna kulit sebelum, semasa dan selepas insiden serangan itu,” ujar Sheriff Ken Mascara dalam satu kenyataan.

Mascara berkata siasatan masih dijalankan.

Majlis Perhubungan Islam Amerika (CAIR) cawangan Florida bagaimanapun memberikan laporan berbeza tentang insiden itu.

Organisasi itu menyatakan bahawa seorang pegawai kananorganisasi bukan berasaskan keuntungan, ICNA Relief, ada bersama mangsa sewaktu serangan berlaku dan penyerang itu dikatakan telah mencerca mangsa dengan kata-kata menghina kaum selain bahasa kesat.

CAIR berkata, penyerang kulit putih itu menyatakan: “Anda semua orang Islam perlu balik ke negara anda”, diikuti serangan fizikal.

Imam di pusat Islam Fort Pierce itu telah mendesak agar kawalan keselamatan diperketatkan berikutan insiden Omar Mateen melepaskan tembakan rambang bulan lalu di kelab malam Pulse, Orlando, kata jurucakap CAIR dan pusat Islam tersebut, Wilfredo Ruiz.

Ruiz memberitahu, Mateen pernah hadir ke masjid berkenaan.

Omar yang ditembak mati oleh polis selepas drama tebusan selama tiga jam itu, mendakwa dirinya ‘tentera Islam’ dan mempunyai kaitan dengan kumpulan militan Daish.

Pengakuan itu berdasarkan transkrip panggilan kecemasan yang dikeluarkan pihak FBI bulan lalu.

Ruiz mengkritik pejabat sherif kerana tidak memberikan kawalan keselamatan yang sewajarnya.

Mascara berkata kenyataan mengenai serangan yang dibuat oleh pegawai pusat Islam dan CAIR sebagai ‘retorik’ dan ‘tidak benar’.