NEW YORK: Ejen FBI menembak mati seorang lelaki yang sedang disiasat kerana melakukan ugutan terhadap Presiden Amerika Syarikat (AS) Joe Biden, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Identiti lelaki itu masih belum dikenal pasti.

Ejen FBI cuba untuk memasuki rumah lelaki itu yang terletak di Provo, Utah, menurut laporan KSL.

Menurut sumber, siasatan kes lelaki itu bermula pada bulan April dan Perkhidmatan Rahsia telah dimaklumkan pada Jun.

Penyiasat mendapati terdapat ancaman kecederaan fizikal.

"Insiden itu bermula apabila ejen khas cuba menyerahkan waran tangkap dan geledah di sebuah kediaman," kata jurucakap FBI kepada KSL.

Beliau berkata suspek sudah meninggal dunia dan FBI memandang serius semua insiden tembakan yang melibatkan ejen atau anggota pasukan petugas.

-- BERNAMA