Letak jawatan: Sajid Javid ganti Matt Hancock

Astro Awani
Jun 27, 2021 00:21 MYT
Sajid Javid dilihat di Downing Street, London, 13 Feb, 2020. (Gambar fail AP)
SUSULAN Menteri Kesihatan United Kingdom (UK) Matt Hancock yang meletak jawatan pada Sabtu kerana melanggar sekatan COVID-19, bekas menteri kewangan Sajid Javid akan menggantikan tempatnya.
Dalam arena politik, Javid turut pernah menjadi Menteri Dalam Negeri semasa pentadbiran bekas Perdana Menteri Theresa May.
Dalam reaksi awalnya, Perdana Menteri UK Boris Johnson melahirkan rasa kecewa atas peletakan jawatan Hancock.
Katanya, Hancock sepatutnya meninggalkan pejabat dengan berbangga terhadap apa yang telah dicapai, bukan hanya dalam menangani wabak, malah sebelum COVID-19 menyerang.
Johnson sebelum ini menyatakan keyakinan terhadap Hancock walaupun terdapat banyak gesaan supaya dia dipecat.
BACA: Menteri Kesihatan UK letak jawatan langgar SOP COVID-19
BACA: Langgar SOP: Menteri Kesihatan Britain minta maaf
Sementara itu, jurucakap kesihatan Parti Buruh pembangkang Jonathan Ashworth berkata, walaupun Hancock telah meletak jawatan, tindakan Johnson tidak memecat Hancock menimbulkan persoalan.
Beberapa anggota Parlimen Konservatif dalam kerajaan juga meminta Hancock meletak jawatan kerana tidak mengamalkan garis panduan yang ditetapkan beliau sendiri.
Hancock menghadapi tekanan yang semakin meningkat sejak akhbar tabloid Sun menerbitkan gambar menunjukkan dia dan pembantu kanannya Gina Coladangelo berciuman di sebuah pejabat di Jabatan Kesihatan.
Dalam surat peletakan jawatannya kepada Johnson, Hancock berkata, "rakyat yang banyak menanggung derita menuntut kerajaan yang jujur tetapi saya telah mengecewakan mereka.
"Dan kita yang telah membuat peraturan ini harus mematuhinya dan itulah sebabnya saya harus meletak jawatan," tulisnya.
#COVID-19 #letak jawatan #pembangkang #British #England #Parlimen #Boris Johnson #Matt Hancock #Gina Coladangelo #Sajid Javid