ESSEX: Lebih 100 anggota bomba dikerahkan bagi mengawal kebakaran besar selepas berlaku letupan baja kimia di sebuah kompleks perindustrian berhampiran Rettendon pada Jumaat.
Pihak berkuasa mengisytiharkan kejadian itu sebagai insiden besar susulan impak letupan yang kuat sehingga gegarannya dirasai penduduk di kawasan sekitar.
Pengurus Kawasan Essex County Fire and Rescue Service, Dave Bond berkata, letupan berlaku apabila api merebak ke stor simpanan baja di salah satu unit perindustrian ketika anggota bomba sedang menjalankan operasi pemadaman.
Kejadian itu memusnahkan beberapa bangunan dan kenderaan berhampiran, selain menghasilkan kepulan asap hitam tebal yang dapat dilihat dari jarak beberapa kilometer.
Bagaimanapun, pihak bomba mengesahkan tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan setakat ini, manakala penduduk berhampiran dipindahkan sebagai langkah keselamatan.
Penduduk turut dinasihatkan supaya menutup pintu dan tingkap rumah masing-masing berikutan penyebaran asap tebal di kawasan berkenaan.