Beberapa pegawai Pelabuhan Beirut, Lebanon kini diletakkan di bawah tahanan rumah bagi membantu siasatan berhubung kejadian letupan dahsyat pada Selasa.

Menteri Penerangan Lebanon, Manal Abdel Samad Najd berkata tindakan itu dikenakan kepada semua pegawai yang mengendalikan penyimpanan dan kertas kerja ammonium nitrat berkenaan.

“Pihak berkuasa tentera mengeluarkan arahan penahanan rumah ke atas pengurusan pelabuhan yang menguruskan penyimpanan ammonium nitrat seberat 2,750 tan.

“Mereka yang terlibat dalam mengendalikan penyimpanan itu dari Jun 2014 hingga 4 Ogos 2020.

“Kita semua terjejas dengan bencana ini. Ini adalah kepentingan negara, isu nasional. Kita tidak lagi boleh berbincang secara tertutup.

"Semua yang terlibat, adalah menjadi tanggungjawab kita untuk membolehkan keadilan ditegakkan,” katanya yang dipetik laporan AP.

Untuk rekod. angka rasmi mangsa maut akibat insiden itu kini melepasi 135 orang manakala lebih 4,000 lagi cedera.

Kerajaan turut melaksana perintah darurat selama dua minggu di kawasan terjejas.

Sebelum ini, Ketua Pengarah Kastam, Badri Daher memaklumkan, pihaknya sudah meminta bahan kimia yang ditempatkan dalam sebuah gudang di pelabuhan itu dipindahkan segera atas sebab keselamatan.

Beliau mendakwa permintaannya itu bagaimanapun tidak diendahkan pihak berkuasa.

Pada Selasa, letupan besar berkenaan dipercayai berpunca daripada ammonium nitrat telah memusnahkan keseluruhan Pelabuhan Beirut.