Skip to main content

Dunia

Letupan kedai mercun di Jiangsu, China ragut 8 nyawa, 2 cedera

FIREWORK_UNSPLASH
Sekurang-kurangnya lapan orang maut, sementara dua lagi cedera selepas berlaku satu letupan di sebuah kedai menjual mercun di wilayah Jiangsu, timur China, pada Ahad. - Gambar hiasan

BEIJING: Sekurang-kurangnya lapan orang maut, sementara dua lagi cedera selepas berlaku satu letupan di sebuah kedai menjual mercun di wilayah Jiangsu, timur China, pada Ahad.

Menurut pihak berkuasa daerah Donghai, letupan berlaku sekitar 2.30 petang selepas tindakan “pelepasan mercun yang tidak betul” oleh seorang atau beberapa penduduk kampung mencetuskan letupan di sebuah kedai berhampiran.

Advertisement

Sejurus kejadian, pasukan pengurusan kecemasan, bomba, polis dan perkhidmatan kesihatan digerakkan ke lokasi bagi melaksanakan operasi menyelamat dan kawalan.

Api yang tercetus akibat letupan berjaya dipadamkan sekitar 4 petang. 

Pihak berkuasa mengesahkan lapan mangsa terkorban, manakala dua lagi mengalami lecur ringan. 

Siasatan sedang dijalankan dan individu yang dipercayai bertanggungjawab telah ditahan bagi membantu siasatan.

China kini memasuki tempoh puncak penggunaan mercun sempena Tahun Baharu Cina, dengan komuniti luar bandar lazim menyalakan pelbagai jenis bunga api dan mercun untuk meraikan perayaan serta upacara tradisi.

Susulan kejadian di Donghai, Kementerian Pengurusan Kecemasan mengeluarkan peringatan agar orang ramai mengelakkan amalan berisiko seperti menguji mercun di hadapan kedai atau merokok berhampiran premis jualan mercun.

Kementerian itu turut mengarahkan semua pengusaha mercun di seluruh negara menjalankan pemeriksaan keselamatan menyeluruh terhadap risiko dan potensi bahaya.

China kerap berdepan insiden industri akibat standard keselamatan yang longgar.

Awal bulan ini, letupan di sebuah kilang bioteknologi di Shanxi turut meragut lapan nyawa, manakala pada akhir Januari lalu, insiden letupan di sebuah kilang keluli di Inner Mongolia mengorbankan sekurang-kurangnya sembilan orang. - Agensi

Must Watch Video