Skip to main content

Teknologi

AI berpotensi ganti tugas kolar putih dalam tempoh 12–18 bulan - CEO Microsoft AI

51712459662_kecerdasanotakbua.jpg
Mustafa berkata AI kini hampir mencapai prestasi setanding manusia dalam kebanyakan tugasan profesional. -Gambar hiasan

CEO Microsoft AI, Mustafa Suleyman, beri amaran bahawa majoriti kerja kolar putih berisiko besar untuk digantikan oleh kecerdasan buatan (AI) dalam tempoh 12 hingga 18 bulan, susulan perkembangan pesat teknologi model data raya dan apa yang beliau gelar sebagai era “Artificial Capable Intelligence.”

Kenyataan itu dibuat dalam temu bual eksklusif bersama Financial Times, yang kemudian dipetik secara meluas oleh media antarabangsa.

Advertisement

Mustafa berkata AI kini hampir mencapai prestasi setanding manusia dalam kebanyakan tugasan profesional.

Beliau menyebut pekerjaan yang banyak bergantung pada komputer seperti peguam, akauntan, pengurus projek, dan pegawai pemasaran sebagai antara yang paling cepat terdedah kepada automasi penuh dalam jangka masa terdekat.

Menurutnya, perubahan ketara sudah pun dapat dilihat dalam industri kejuruteraan perisian, apabila majoriti kod kini dihasilkan menggunakan alat AI, sementara jurutera pula beralih kepada tugas strategi, menyemak dan memastikan sistem AI dapat dihasilkan ke persekitaran sebenar.

Peralihan ini berlaku dalam tempoh enam bulan kebelakangan.

Beliau turut menjangka penciptaan model AI baharu akan menjadi semudah menghasilkan blog atau podcast, dengan setiap organisasi mempunyai kebolehan membangunkan model tersuai mengikut keperluan masing‑masing.

Dalam dua hingga tiga tahun akan datang, beliau menjangkakan ejen AI mampu mengurus aliran kerja organisasi besar dengan lebih berkesan daripada manusia.

Pandangan Mustafa hadir ketika syarikat-syarikat teknologi di seluruh dunia semakin mempercepat penggunaan AI sebagai langkah penjimatan kos, menyusul laporan pembuangan pekerja besar-besaran dalam industri teknologi.

Ramai pemerhati industri bagaimanapun memberi amaran bahawa ramalan ini mungkin keterlaluan, memandangkan beberapa kajian menunjukkan impak produktiviti AI tidak setinggi yang dijangkakan.

Namun begitu, kenyataan ketua AI Microsoft ini tetap menambah tekanan terhadap perbahasan global mengenai masa depan pekerjaan dan ekonomi digital. -Amanz

Must Watch Video