KUALA LUMPUR: Tempoh penutupan sementara bagi empat lapangan terbang utama di Indonesia sejak Ahad, dilanjutkan sehingga jam 6 petang waktu tempatan Isnin, berikutan aktiviti letusan Gunung Anak Krakatau yang semakin meningkat.
InJourney Airports, syarikat pengurusan lapangan terbang milik kerajaan Indonesia, dalam satu kenyataan berkata, penutupan itu dilakukan demi menjamin keselamatan penerbangan di kawasan terbabit.
Syarikat itu memaklumkan lapangan terbang terlibat ialah Lapangan Terbang Soekarno-Hatta di Tangerang; Lapangan Terbang Halim Perdanakusuma di Jakarta; Lapangan Terbang Radin Inten II di Lampung, Sumatera; dan Lapangan Terbang Husein Sastranegara di Bandung.
Semuanya dijangka akan kembali beroperasi secara berperingkat selepas tempoh penutupan tamat.
"Keputusan penutupan itu dibuat berikutan keadaan awan abu gunung berapi yang menimbulkan risiko kepada keselamatan pesawat terbang dan operasi lapangan terbang.
"Pihak pengurusan lapangan terbang akan sentiasa memantau keadaan dan akan memaklumkan sebarang perubahan terkini dari semasa ke semasa.
"Penumpang yang mempunyai jadual perjalanan ke atau dari lapangan terbang terbabit dinasihatkan supaya sentiasa menyemak status penerbangan masing-masing.
"Mereka juga disarankan menghubungi syarikat penerbangan masing-masing bagi mendapatkan maklumat terkini kerana keadaan operasi boleh berubah mengikut tahap aktiviti gunung berapi itu," kata kenyataan itu.
Sementara itu, tujuh lapangan terbang alternatif lain masih beroperasi seperti biasa dan boleh digunakan sebagai pilihan kepada penumpang.
Lapangan terbang tersebut ialah Lapangan Terbang Antarabangsa Yogyakarta; I Gusti Ngurah Rai di Bali; Jenderal Ahmad Yani di Semarang; Adi Soemarmo, Boyolali; Juanda, Surabaya; Sultan Syarif Kasim II, Pekanbaru; dan Kertajati, Majalengka.
Tengah malam Ahad, Kementerian Pengangkutan Indonesia memaklumkan Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta dan enam lapangan terbang lain ditutup sementara sehingga 8.59 pagi Isnin.
Enam lapangan terbang lain ialah Radin Inten II di Lampung, Halim Perdanakusuma di Jakarta, Husein Sastranegara di Bandung, Budiarto di Tangerang, Pondok Cabe di Tangerang Selatan dan M. Taufik Kiemas di Lampung.