NEW YORK: Anggota Liga Arab mendakwa mempunyai sokongan besar dalam kalangan ahli Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) untuk meluluskan resolusi mendesak gencatan senjata di Gaza.

Sehubungan itu wakil tetap Palestin ke PBB, Riyad Mansour mendesak anggota UNSC menyokong draf resolusi itu yang akan dikemukakan Algeria.

"Daripada perspektif kami, kami percaya Majlis Keselamatan wajar mengambil tanggungjawab dan bertindak segera untuk menamatkan pertempuran dan menyelamatkan Gaza dari bencana.

"Kami mahu melihat Majlis Keselamtan bertindak dalam mandat dan kuasanya secepat mungkin. Kami percaya kami akan mendapat sokongan ramai berkaitan draf teks resolusi ini," katanya.

Riyad sifatkan serangan dan pencerobohan Israel di Rafah akan menyebabkan penduduk Semenanjung Gaza semakin berkurangan.

Duta Amerika Syarikat (AS) ke PBB, Linda Thomas-Greenfield minggu lalu tegaskan cadangan draf resolusi menuntut jeda kemanusiaan segera menyebabkan usaha membebaskan tahanan Israel dalam bahaya.

Sebaliknya beliau memaklumkan, AS kini mengusahakan cadangan lebih konkrit untuk pembebasan tahanan Israel dan memastikan bantuan kemanusiaan yang diperlukan dapat dihantar ke Gaza.

Namun Riyad berpandangan, UNSC perlu segera membuat keputusan berkaitan draf resolusi untuk jeda kemanusiaan.

Draf resolusi cadangan Algeria tidak menyentuh isu pembebasan tahanan.

Sebaliknya ia menuntut semua pihak mematuhi undang-undang antarabagsa dan menuntut akses untuk bantuan kemanusiaan bagi Gaza.