ISTANBUL: Delegasi negara akan berkongsikan pengalaman dan peranan Malaysia dalam usaha berterusan mempertahankan nasib rakyat Palestin pada Persidangan Liga Parlimen Al-Quds kelima yang berlangsung di Istanbul, Turki pada Sabtu.

Menurut Ketua Kaukus Palestin Parlimen Malaysia, Syed Ibrahim Syed Noh, antara yang bakal dikongsikan termasuk pendirian Malaysia yang sentiasa tegas dalam apa jua isu membabitkan Palestin.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Ledang berkata, turut dikongsikan dalam ucaptamanya nanti adalah aktiviti-aktiviti yang dilakukan Kaukus Palestin Parlimen Malaysia.

“Saya akan sentuh tentang beberapa perkara utama yang pertama berkenaan dengan sikap Malaysia terhadap nasib warga Palestin, Malaysia sangat tegas tentang isu melibatkan Palestin.

“Pada masa sama, saya juga membawa isu-isu yang mengkhususkan tentang peperangan dan juga bantuan kemanusiaan.

“Seterusnya saya akan kongsikan juga berkenaan dengan aktiviti yang dilakukan Kokus Palestinian Parlimen Malaysia tentang apa tindakan yang telah kita laksanakan dalam usaha berterusan ini,” katanya. 

Syed Ibrahim berkata demikian sebelum menyampaikan ucaptama di Persidangan Liga Parlimen Al-Quds kelima yang berlangsung hari ini.

Bertemakan Pembebasan dan Kemerdekaan untuk Palestin, persidangan telah dirasmikan Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan pada Jumaat.

Ia melibatkan 600 ahli parlimen daripada 75 negara merentasi benua Asia, Eropah, Amerika Latin dan Afrika.

Selain itu, Syed Ibrahim berkata, penglibatan negara bukan Islam dalam persidangan ini juga adalah dialu-alukan.

Ini bagi memberi isyarat jelas kepada rejim Israel dan sekutunya bahawa dunia kini sedar mengenai kezaliman dan penindasan berterusan yang dilakukan terhadap penduduk di Palestin khususnya di Gaza.

“Hari ini kita lihat dalam persidangan ini lebih separuh sebenarnya adalah daripada kalangan negara bukan Islam tapi suara mereka belum kedengaran sangat lagi.

“Jadi saya jangkakan kita nak juga tunjukkan supaya ada pelan tindakan untuk kita bawa negara-negara ini bersama, jadi mesti ada organisasi payung yang besar yang bukan hanya mewakili negara Islam tetapi daripada rakyat dan juga negara bukan Islam.

“Daripada sokongan di luar sekarang terutamanya dalam kalangan mahasiswa di Amerika Syarikat dan Eropah, mereka sudah bangkit, jadi sepatutnya kita memanfaatkan sokongan tersebut dan kita jadikan sokongan itu sebagai sokongan padu untuk perjuangan rakyat Palestin.

“Jadi itu antara cadangan tindakan yang akan saya kongsikan dalam ucapan saya nanti,” ujarnya lagi.

Pada persidangan kali ini, delegasi Malaysia turut diwakili dua ahli Kaukus Palestin Parlimen Malaysia iaitu, Ahli Parlimen Kuala Krai, Abdul Latiff Abdul Rahman dan Ahli Parlimen Sik, Ahmad Tarmizi Sulaiman.