LOUISVILLE: Sekurang-kurangnya lima maut manakala sembilan lagi cedera, termasuk dua anggota polis, dalam kejadian tembakan rambang di sebuah bank di Louisville, Amerika Syarikat (AS) pada Isnin.

Menurut Timbalan Ketua Polis Jabatan Polis Louisville Metro (LMPD), Paul Humphrey, suspek, yang merupakan seorang pekerja di bank berkenaan, turut terkorban dalam kejadian itu.

Namun masih belum pasti jika dia ditembak anggota polis atau menembak dirinya sendiri.

Identiti suspek belum didedahkan dan motif di sebalik kejadian masih dalam siasatan.

Dua mangsa cedera dikejarkan ke Hospital Universiti Louisville (UofL) dan dilaporkan dalam keadaan kritikal.

Pegawai hospital memaklumkan telah merawat sembilan mangsa dan tiga daripadanya telah dibenarkan pulang ke rumah.

Kejadian pada Isnin merupakan insiden tembakan rambang yang ke-15 di AS tahun ini.