Lubnan, Israel adakan rundingan langsung pertama dalam beberapa dekad

Anggota tentera Lubnan menaiki kenderaan tentera pada hari ketibaan Pope Leo XIV ke Lubnan sempena lawatan pertamanya, di Beirut, pada hujung minggu lalu. - Gambar Reuters
BEIRUT: Wakil awam Lubnan dan Israel mengadakan rundingan langsung pertama dalam beberapa dekad pada Rabu, di bawah mekanisme pemantauan gencatan senjata yang telah berusia setahun.
Bagaimanapun, Perdana Menteri Lubnan menegaskan, pertemuan itu bukan rundingan damai secara menyeluruh.
Mesyuarat berlangsung di ibu pejabat Pasukan Penjaga Keamanan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNIFIL) di Naqura, berhampiran sempadan Israel, lokasi yang menjadi pusat pertemuan pihak penjamin gencatan senjata November 2024 antara Israel dan Hezbollah.
Lubnan dan Israel secara teknikal masih berperang sejak 1948.
Perdana Menteri Lubnan, Nawaf Salam, berkata rundingan kali ini hanya tertumpu kepada pelaksanaan penuh gencatan senjata tahun lalu.
“Kami belum berada di tahap rundingan damai,” katanya kepada media.
Beliau menjelaskan, perbincangan hanya melibatkan isu “penghentian permusuhan”, “pembebasan tebusan Lubnan” dan “pengunduran sepenuhnya tentera Israel” dari wilayah Lubnan.
Israel masih melancarkan serangan udara di Lubnan dengan alasan menyasarkan anggota dan kemudahan Hezbollah, selain mengekalkan kehadiran tentera di lima kawasan selatan meskipun gencatan senjata menetapkan pengunduran sepenuhnya.
Sebelum ini, kedua-dua negara yang tiada hubungan diplomatik rasmi hanya membenarkan pegawai tentera menyertai mekanisme gencatan senjata.
Pejabat Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu menyifatkan suasana rundingan sebagai “positif” dan bersetuju untuk “membangunkan idea bagi kerjasama ekonomi antara Israel dan Lubnan."
Namun Israel menegaskan, Hezbollah perlu dilucutkan senjata tanpa mengira sebarang kemajuan dalam kerjasama ekonomi.
Mekanisme gencatan senjata ini dikendalikan Amerika Syarikat dengan penglibatan Perancis dan PBB.
‘Normalisasi hanya selepas damai’
Kedutaan AS di Beirut memaklumkan Utusan Khas, Morgan Ortagus, turut hadir dalam mesyuarat berkenaan.
Washington sebelum ini mendesak Lubnan mempercepat usaha melucutkan senjata Hezbollah.
Kedutaan AS menyambut baik penglibatan wakil awam - bekas Duta Lubnan ke AS, Simon Karam dan pegawai Majlis Keselamatan Negara Israel, Uri Resnick - dalam mekanisme tersebut.
Ortagus sehari sebelumnya berada di Jerusalem untuk bertemu Netanyahu dan Menteri Luar Israel, Gideon Saar.
AS giat menggalakkan rundingan langsung bagi menstabilkan rantau itu dan melemahkan Hezbollah yang disokong Iran.
Salam berkata, Lubnan bersedia membenarkan mekanisme mengesahkan usaha tenteranya melucutkan senjata Hezbollah di selatan negara itu.
Netanyahu pula berulang kali menyatakan Lubnan sepatutnya menyertai Perjanjian Abraham, yang menyaksikan beberapa negara Arab dan Islam menormalkan hubungan dengan Israel.
Namun Salam menegaskan: “Normalisasi hanya selepas damai. Ia tidak boleh mendahului damai.”
Serangan meningkat
Rundingan baharu ini berlangsung beberapa hari selepas ulang tahun pertama gencatan senjata antara Israel dan Hezbollah yang bertujuan menamatkan konflik lebih setahun selepas serangan kumpulan itu menyokong Hamas berikutan serangan 7 Oktober 2023 ke atas Israel.
Israel terus mengebom Lubnan meskipun gencatan senjata, dengan alasan menghalang Hezbollah membina semula kekuatan ketenteraan.
Mengikut pelan kerajaan, tentera Lubnan dijadual melupuskan infrastruktur ketenteraan Hezbollah di selatan Sungai Litani menjelang akhir tahun, sebelum diperluas ke seluruh negara.
Namun Israel menganggap usaha itu tidak mencukupi dan meningkatkan serangan dalam beberapa minggu kebelakangan ini.
Saluran penyiaran awam Israel, KAN, melaporkan Israel sedang bersiap sedia menghadapi “eskalasi besar” dengan Hezbollah, yang dianggap “tidak dapat dielakkan” meskipun usaha diplomatik Washington. - Agensi
Dapatkan berita terkini di sini


Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami

