Skip to main content

Dunia

Lubnan, Israel lanjut gencatan senjata tiga minggu selepas rundingan di White House - Trump

People stand as an excavator operates at the site of an Israeli strike carried out on Wednesday, in Al-Mazraa in Beirut, Lebanon, April 9, 2026. REUTERS/Raghed Waked TPX IMAGES OF THE DAY
Presiden Trump mengumumkan bahawa gencatan senjata antara Israel dan Lubnan dilanjutkan selama tiga minggu selepas rundingan peringkat duta di White House. - Gambar Reuters

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump pada Khamis mengumumkan bahawa gencatan senjata antara Israel dan Lubnan dilanjutkan selama tiga minggu selepas rundingan peringkat duta di White House.

“Gencatan senjata antara Israel dan Lubnan akan dilanjutkan selama TIGA MINGGU,” kata Trump dalam satu kenyataan selepas menerima kunjungan duta kedua-dua pihak di Pejabat Oval bersama Naib Presiden, JD Vance dan Setiausaha Negara, Marco Rubio.

Advertisement

Anadolu Ajansi melaporkan, Trump menyifatkan pertemuan itu sebagai “sangat berjaya” serta menegaskan bahawa Washington akan bekerjasama dengan Lubnan untuk membantu negara itu “melindungi dirinya” daripada Hezbollah.

“Saya menantikan dalam masa terdekat untuk menerima kunjungan Perdana Menteri Israel, Bibi Netanyahu dan Presiden Lubnan, Joseph Aoun,” katanya.

Trump kemudian memberitahu pemberita di White House bahawa kedua-dua pemimpin itu “kemungkinan besar” akan melawat White House dalam tempoh tiga minggu gencatan senjata berkenaan.

Pertemuan itu merupakan yang kedua antara Duta Lubnan, Nada Hamadeh Moawad dan Duta Israel, Yechiel Leiter dalam tempoh dua minggu di tengah-tengah gencatan senjata masih rapuh.

Kedua-dua pihak mengadakan rundingan pertama pada 14 April di Jabatan Negara.

Gencatan senjata selama 10 hari yang diusahakan AS dan berkuat kuasa pada 16 April, sebelum ini dijadual tamat pada Ahad.

Lebih 2,200 orang terbunuh manakala lebih sejuta lagi hilang tempat tinggal susulan serangan Israel yang diperluas ke atas Lubnan sejak 2 Mac, tidak lama selepas AS dan Israel melancarkan perang terhadap Iran.

Serangan itu dilaporkan berterusan walaupun gencatan senjata 16 April telah berkuat kuasa.

-- BERNAMA-ANADOLU

 

 

 

Must Watch Video