Skip to main content

Malaysia

Jerebu: 33 kawasan catat IPU tidak sihat, Batu Pahat tertinggi setakat jam 6 pagi

Johor merekodkan jumlah kawasan tidak sihat tertinggi melibatkan Batu Pahat , Pasir Gudang, Tangkak, Larkin, Segamat, Kluang, Kota Tinggi dan Pengerang. - Foto fail/BERNAMA
Johor merekodkan jumlah kawasan tidak sihat tertinggi melibatkan Batu Pahat , Pasir Gudang, Tangkak, Larkin, Segamat, Kluang, Kota Tinggi dan Pengerang. - Foto fail/BERNAMA

Advertisement

KUALA LUMPUR: Sebanyak 33 kawasan di seluruh negara merekodkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada tahap tidak sihat setakat jam 6 pagi ini, dengan Batu Pahat, Johor mencatat bacaan tertinggi iaitu 189.

Berdasarkan data Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS), Johor merekodkan jumlah kawasan tidak sihat tertinggi melibatkan Batu Pahat (189), Pasir Gudang (186), Tangkak (186), Larkin (185), Segamat (183), Kluang (177), Kota Tinggi (174) dan Pengerang (169).

Negeri Sembilan turut mencatat bacaan tidak sihat di Seremban (186), Nilai (180) dan Port Dickson (166).

Di Lembah Klang, beberapa lokasi terus merekodkan bacaan tidak sihat termasuk Cheras (175), Batu Muda (171), Johan Setia (171), Shah Alam (170), Putrajaya (169), Petaling Jaya (162), Klang (162), Banting (159) dan Kuala Selangor (154).

Melaka pula mencatat bacaan tidak sihat di Bukit Rambai (178), Bandaraya Melaka (175) dan Alor Gajah (174), manakala Perak merekodkan bacaan tidak sihat di Tasek Ipoh (176), Pegoh Ipoh (172), Tanjung Malim (169) dan Seri Manjung (156).

Di Pahang, Rompin mencatat bacaan IPU 167, diikuti Temerloh serta Indera Mahkota, Kuantan yang masing-masing merekodkan bacaan 152.

Kuching, Sarawak turut merekodkan bacaan tidak sihat iaitu 151, manakala Seberang Perai, Pulau Pinang mencatat bacaan 137 dan Sungai Petani, Kedah merekodkan bacaan 119.

Sementara itu, 35 stesen pemantauan lain di seluruh negara berada pada tahap sederhana dengan bacaan IPU antara 54 hingga 99.

Mengikut klasifikasi APIMS, bacaan IPU antara 101 hingga 200 dikategorikan sebagai tidak sihat, manakala bacaan antara 51 hingga 100 berada pada tahap sederhana.

Orang ramai, khususnya golongan berisiko seperti kanak-kanak, warga emas dan individu yang mempunyai penyakit pernafasan, disaran mengurangkan aktiviti luar dan memakai pelitup muka sekiranya perlu berada di kawasan berjerebu.

Setakat jam 6 pagi ini, tiada kawasan merekodkan bacaan IPU pada tahap sangat tidak sihat atau berbahaya.

 

 

Must Watch Video

Advertisement