Lubnan perlu segera membentuk sebuah kerajaan susulan pemilihan Perdana Menteri baharu, Mustapha Adib.

Itu gesaan Presiden Perancis Emmanuel Macron yang mahu melihat negara itu pulih semula daripada kancah kemiskinan.

Macron yang melakukan siri lawatan kedua ke Lubnan selepas letupan mega di Beirut berkata pembentukan sebuah kerajaan baharu penting memandangkan ia adalah janji yang dibuat Adib.

Lubnan diancam kemiskinan teruk selepas hampir keseluruhan Pelabuhan Beirut musnah dalam kejadian letupan sehingga mengakibatkan hampir 200 maut.

Pegawai kanan Lubnan sebelum ini berkata campur tangan Macron penting dalam mencapai keputusan pemilihan Adib sebagai perdana menteri yang baharu.

Pada Isnin, Mesyuarat Ahli Parlimen menzahirkan kata sepakat untuk memilih bekas Duta Lubnan ke Jerman sebagai perdana menteri.

Kerajaan Lubnan yang dipimpin Hassan Diab meletak jawatan susulan kemarahan memuncak disebabkan letupan besar itu.

Sementara itu, Adib berjanji akan memulihkan segera Lubnan yang berdepan kemiskinan dan kucar-kacir dalam semua aspek termasuk politik.

Antara lain, Adib meminta kerjasama seluruh penduduk Lubnan untuk berganding bahu membentuk sebuah negara yang lebih baik pada masa depan.

Di sebalik janjinya itu, Adib mengakui pemulihan Lubnan yang disifatkan sebagai luka teruk akan mengambil masa untuk sembuh semula.

Beliau bagaimanapun yakin dengan kerjasama semua pihak, Lubnan berupaya untuk keluar daripada masalah itu, sekali gus mempunyai masa depan yang lebih baik.

Adib, 48 tahun pada Isnin mendapat sokongan ahli politik negara dan dilantik Perdana Menteri yang baharu.