KERAJAAN Maghribi bersedia memulakan penghantaran makanan dan bantuan kemanusiaan menerusi udara ke Gaza pada Isnin.

Menggunakan enam pesawat pengangkut Hercules, Tentera Udara Diraja Maghribi, pesawat itu berlepas pagi Isnin sebagai sebahagian daripada usaha antarabangsa sekali gus mengurangkan krisis di rantau itu.

Misi bantuan kemanusiaan itu dilaporkan pada program 'This Morning' di KAN Reshet B, sebuah stesen radio dikendalikan Perbadanan Penyiaran Israel.

Maghribi menyertai senarai negara luar yang menghantar bantuan di kawasan itu, termasuk Jordan, Mesir, Amerika Syarikat, Perancis, Belgium dan Belanda.

Operasi Maghribi itu dijalankan di bawah arahan Raja Mohammed VI.

Ini adalah tanda muhibah dari Maghribi kepada penduduk Gaza semasa bulan suci Ramadan, yang bermula hari ini.

Israel dan Maghribi telah mewujudkan perjanjian diplomatik sebagai sebahagian daripada Perjanjian Abraham, dengan Israel juga terlibat dalam perjanjian keselamatan dengan Maghribi.

Bagaimanapun, pencerobohan Israel baru-baru ini terhadap rakyat Palestin di Gaza mencetuskan protes besar-besaran di Rabat, dengan puluhan ribu rakyat Maghribi menuntut hubungan diplomatik antara kedua-dua negara diputuskan.

Menurut laporan itu, bantuan makanan dari udara oleh Maghribi menunjukkan komitmen kerajaan untuk membantu orang awam di Gaza.

Pengerusi Jawatankuasa Al-Quds, Raja Mohammed VI merupakan pemimpin barisan hadapan yang menuntut penyelesaian aman dan gencatan senjata dilakukan di Gaza.