KUALA LUMPUR: Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) bersedia memberikan khidmat nasihat serta rundingan bagi membantu kerajaan, majikan dan pekerja menghadapi cabaran berkaitan perubahan iklim.

Naib Pengerusi NIOSH Manivanan Gowin dalam kenyataan pada Ahad berkata selain itu, NIOSH turut menaik taraf program latihan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (KKP) yang dianjurkannya di seluruh negara.

"Semua pihak perlu berganding bahu bagi membantu menangani risiko yang dihadapi pekerja akibat perubahan iklim yang semakin ketara di seluruh dunia.

"NIOSH turut aktif dalam menjalinkan kerjasama dengan pelbagai organisasi luar dan dalam negara, agensi kerajaan serta institut pengajian tinggi awam dan swasta bagi meningkatkan kajian serta perkhidmatan berkaitan KKP. Sehingga kini, NIOSH telah menandatangani 139 dokumen kerjasama untuk tujuan tersebut," katanya.

Beliau berkata melalui kerjasama sebegini, NIOSH mampu meningkatkan keberkesanan program kesedaran dan latihan, menyediakan perkhidmatan rundingan serta menjalankan kajian berkaitan perubahan iklim selain mewujudkan mekanisme menangani kesannya di tempat kerja.

Dalam pada itu, Manivanan berkata menyedari kepentingan menangani risiko berkaitan perubahan iklim ini, Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) telah memilih 'Masa Semakin Suntuk: Keterjaminan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Dalam Cabaran Perubahan Iklim Semasa' sebagai tema sambutan Hari KKP Sedunia 2024 yang diraikan pada Ahad.

"Berdasarkan kajian ILO, perubahan iklim yang semakin ketara akan menyebabkan kira-kira 70 peratus pekerja di seluruh dunia terdedah kepada pelbagai bahaya seperti strok haba, sinaran ultralembayung (UV) berlebihan, pencemaran udara serta penyakit bawaan vektor dan agrokimia.

"ILO menjangkakan hingga 860,000 kematian berkaitan pekerjaan akan berlaku dalam kalangan mereka yang bekerja di luar pejabat setiap tahun akibat masalah kesihatan yang dijangka meningkat disebabkan perubahan iklim termasuk penyakit kanser dan kardiovaskular, masalah pernafasan, kegagalan buah pinggang dan masalah berkaitan kesihatan mental," katanya.

Laporan ILO turut menunjukkan perubahan iklim telah memberi kesan serius kepada 2.4 bilion pekerja yang terdedah kepada cuaca panas dan mereka ini mewakili lebih 70 peratus daripada keseluruhan 3.4 bilion pekerja di seluruh dunia.

"Dalam laporan bertajuk 'Memastikan Keselamatan dan Kesihatan Ketika Bekerja Dalam Perubahan Iklim' ini, ILO turut menggariskan beberapa impak besar susulan perubahan iklim antaranya 1.6 bilion pekerja terdedah kepada sinar UV mengakibatkan 18,960 kematian akibat kanser kulit bukan melanoma setiap tahun.

"Selain itu, seramai 1.6 billion pekerja turut terdedah kepada pencemaran udara di tempat kerja, menyebabkan hingga 860,000 kematian dalam kalangan pekerja luar pejabat setiap tahun," katanya.

-- BERNAMA