Skip to main content
Advertisement

Dunia

Mahkamah Sri Lanka sabitkan 15 individu dalam kes pengeboman Easter 2019

A police commando stands guard at the High Court complex ahead of a verdict related to the 2019 Easter bombings in Colombo, Sri Lanka, Tuesday, Sept. 22, 2026.(Eranga Jayawardane)
Seorang anggota komando polis berkawal di pekarangan kompleks Mahkamah Tinggi menjelang keputusan mahkamah berhubung kes pengeboman Easter 2019 di Colombo, Sri Lanka. - Foto AP
Advertisement

COLOMBO: Mahkamah Tinggi Sri Lanka menjatuhkan hukuman penjara panjang terhadap 15 lelaki yang didapati bersalah terlibat dalam perancangan siri pengeboman Easter pada 2019 yang mengorbankan 270 nyawa dan mencederakan lebih 500 orang.

Antara yang disabitkan ialah Naufer Moulavi, yang menurut pihak pendakwaan merupakan dalang utama di sebalik serangan bom bunuh diri berkenaan. Sembilan lagi tertuduh dibebaskan daripada pertuduhan.

Serangan terancang yang menyasarkan tiga gereja dan tiga hotel mewah pada Hari Easter itu merupakan insiden paling berdarah di Sri Lanka sejak berakhirnya perang saudara negara tersebut pada 2009.

Seramai 45 warga asing turut terkorban dalam kejadian itu.

Kesemua penyerang yang melaksanakan serangan berkenaan maut di lokasi letupan.

Sebelum ini, pihak penyiasat menyimpulkan bahawa serangan itu dilakukan oleh kumpulan ekstremis.

Mahkamah pada Selasa menjatuhkan hukuman penjara antara 200 hingga 260 tahun terhadap setiap tertuduh yang disabitkan bersalah.

Selain itu, mahkamah turut mengarahkan semua aset alih dan tidak alih milik mereka dirampas.

Kesemua tertuduh berdepan lebih 23,000 pertuduhan dan dibawa ke mahkamah dengan tangan bergari menggunakan dua bas penjara.

Sebahagian besar mangsa yang maut ialah rakyat Sri Lanka, termasuk kanak-kanak.

Antara korban ialah cef terkenal Shantha Mayadunne dan anak perempuannya, sebuah keluarga beranggotakan lima orang, sekurang-kurangnya lapan kakitangan hotel yang menjadi sasaran serta lima ahli keluarga dari bandar Negombo.

Mangsa warga asing pula termasuk 11 rakyat India, lapan rakyat Britain dan lima rakyat Amerika Syarikat, selain warga Australia, Bangladesh, China, Denmark, Jepun, Belanda, Portugal, Sepanyol, Sweden, Switzerland dan Turkiye.

Tiga anak kepada jutawan Denmark, Anders Holch Povlsen, turut terkorban dalam serangan di Hotel Shangri-La ketika keluarga itu sedang bercuti di Sri Lanka.


Kegagalan perkongsian risikan

Siasatan selepas tragedi tersebut mendedahkan wujud kegagalan serius dari segi perkongsian maklumat risikan.

Parlimen Sri Lanka sebelum ini dimaklumkan bahawa amaran awal yang diberikan oleh India mengenai kemungkinan serangan tidak dikongsi secara menyeluruh dengan agensi berkaitan.

Pada 2023, Mahkamah Agung Sri Lanka mengarahkan bekas presiden Maithripala Sirisena membayar pampasan berjuta-juta rupee kepada mangsa selepas didapati bertanggungjawab terhadap kelemahan keselamatan negara yang menyumbang kepada serangan itu.

Bulan lalu, dua bekas pegawai kanan kerajaan dijatuhi hukuman mati selepas didapati cuai dalam melaksanakan tanggungjawab sehingga membawa kepada tragedi tersebut.

Namun, hukuman mati di Sri Lanka lazimnya ditukar kepada penjara seumur hidup susulan moratorium pelaksanaan hukuman gantung yang berkuat kuasa sejak beberapa dekad lalu.

Sejak 2019, keluarga mangsa dan pertubuhan masyarakat sivil terus mengadakan demonstrasi bagi menuntut keadilan serta pendedahan penuh mengenai dalang sebenar serangan berkenaan.

Keputusan mahkamah itu dibuat ketika siasatan berasingan masih dijalankan terhadap bekas ketua perisikan, Suresh Sallay, yang dituduh mempunyai kaitan dalam perancangan serangan tersebut bersama kumpulan pelampau.

Sallay yang ditahan pada Februari lalu menafikan semua dakwaan terhadapnya.

Bekas Presiden Gotabaya Rajapaksa, yang dipilih beberapa bulan selepas serangan berkenaan dengan kempen menentang ekstremisme, turut menafikan sebarang penglibatan dan kini memohon perintah mahkamah bagi menghalang kemungkinan penahanannya berhubung siasatan yang sedang berlangsung.

 

 

Must Watch Video

Advertisement